United mengembalikan separuh daripada bayaran perpindahan Ronaldo dalam masa 72 jam melalui penjualan baju

0

Penjualan jersi nombor 7 yang tertera nama Ronaldo telah mencatatkan rekod jualan tertinggi secara atas talian dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. ‘Ronaldo 7’ telah diperkenalkan oleh Manchester United beberapa hari lepas dan telah memecah rekod jualan 68.1 juta Pound dalam tempoh 72 jam sahaja.

United perlu berterima kasih kepada Edinson Cavani kerana melepaskan nombor keramat tersebut kepada Ronaldo. Kini Cavani akan menggunakan nombor 21 selepas Daniel James berhijrah ke Leeds United pada 31 Ogos yang lepas. Cavani telah menggunakan nombor 21 ketika bersama skuad kebangsaan Uruguay sejak 10 tahun lepas.

United telah mendapatkan 6.81 juta Pound hasil komisen jualan jersi Ronaldo dari pengeluar jenama sukan Adidas. Jumlah ini sudah memadai untuk membayar separuh harga pembelian Ronaldo dari Juventus. Jualan jersi United kini telah meningkat sebanyak 13% dari tahun-tahun lepas. Pembelian Jadon Sancho dan Raphael Varane turut menjadi faktor peningkatan hasil jualan jersi tersebut.

Sebuah laman sesawang LovestheSales.com telah mendedahkan statistik penjualan jersi pasukan-pasukan dalam Liga Perdana Inggeris. United kini menduduki ketiga di belakang Chelsea dan Liverpool dalam penjualan jersi. Data ini dikumpulkan melalui 1000 penjual atas talian. Banyak faktor yang menyebabkan hasil jualan melonjak tinggi secara tiba-tiba seperti tahap popular sesebuah kelab, pembelian pemain baru, menang trofi, meningkat naik ke liga utama, penurunan liga dan juga keunikan jersi tersebut.

4 Pemain United Berada Dalam Senarai ‘Top Ten’. Kemasukan pemain bintang dalam sesebuah kelab akan memberikan impak positif kepada kewangan sesebuah kelab. Manchester United telah melakukan yang terbaik pada musim perpindahan kali ini. United telah mempunyai 4 pemain yang berada dalam senarai 10 pemain yang mempunyai rekod jualan tertinggi jersi pasukan untuk musim 2021/2022. Tiada pasukan lain yang mempunyai 4 pemain dalam senarai tersebut melainkan United.

Senarainya adalah seperti berikut

1) Cristiano Ronaldo (Manchester United)

2) Jack Grealish (Manchester City)

3) Bruno Fernandes (Manchester United)

4) Romelo Lukaku (Chelsea)

5) Paul Pogba (Manchester United)

6) Mohamed Salah (Liverpool)

7) Virgil van Dijk (Liverpool)

8) Harry Kane ( Tottenham Hotspur)

9) Kevin de Bruyne (Manchester City)

10) Jadon Sancho (Manchester United)

- Advertisement -