United bangkit dan menang, Solskjaer puji karakter para pemainnya

Solskjaer, memuji semangat pasukannya yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan.

Paul ELLIS / AFP
0 55

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memuji watak pasukannya yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan dan bangkit untuk meraih kemenangan besar.

Manchester United ketinggalan 1-2 di belakang AS Roma pada separuh masa pertama. Walaupun Bruno Fernandes memberi kelebihan kepada United ketika permainan hanya berlangsung selama sembilan minit, AS Roma mendahului menerusi gol Lorenzo Pellegrini pada minit ke-15 dan Edin Dzeko pada minit ke-33.

Namun, Manchester United bangkit pada babak kedua. Edinson Cavani memberikan sinar kemenangan kepada Manchester United dengan kedudukan 3-2 selepas dua gol pada minit ke-48 dan ke-64. Tidak berhenti di situ, Bruno Fernandes menjaringkan gol keduanya pada minit ke-71 melalui sepakan penalti.

Paul Pogba juga menjaringkan gol pada minit ke-75 dan pesta gol Manchester United dilengkapkan dengan gol Mason Greenwood pada minit ke-86. Kemenangan 6-2 di Old Trafford pastinya sangat penting bagi Manchester United untuk peringkat pertama, tetapi Solskjaer menegaskan tugas pasukannya belum selesai.

“Saya tidak merasa tugas ini selesai. Namun, ini adalah prestasi yang baik. Kami menunjukkan prestasi yang baik, tetapi kami juga tahu mereka (AS Roma) mempunyai kualiti,” kata Solskjaer kepada BT Sport seperti yang dilaporkan oleh BBC Sport.

“Mereka menjaringkan dua gol selepas peluang yang kami berikan. Tetapi, babak kedua berjalan dengan baik dan lancar,” kata pengurus Manchester United itu.

Pengurus Manchester United juga menekankan bahawa The Red Devils mempunyai pemain yang mampu mencipta peluang-peluang yang sangat baik untuk pasukan. Ini dapat dilihat dari karakter para pemain yang akhirnya dapat bangkit dan menang besar dalam perlawanan tersebut.

“Kami tahu kami mempunyai pemain kreatif yang dapat bijak dan kreatif mencari ruang dan peluang. Paul Pogba bermain dengan baik dalam posisinya. Dia mendapat lebih banyak kebebasan. Perbezaannya hari ini, kami memaksimumkan hampir semua peluang yang kami dapat,” kata pengurus Norway itu.

“Karakter yang dipamerkan oleh para pemain menunjukkan mereka bangkit dan tidak mudah untuk mengaku kalah. Mungkin hanya 5 hingga 10 minit pada akhir babak pertama kami tidak bermain dengan begitu bagus. Namun, kami berjaya mengatasinya pada separuh masa kedua dengan jayanya,” katanya.

Dalam perlawanan itu, dua bekas rakan sepasukan Solskjaer di Manchester United, Owen Hargreaves dan Paul Scholes, yang menjadi pengulas jemputan mengatakan bahawa Solskjaer harus membuat perubahan di barisan tengah pada waktu rehat. Solskjaer menekankan bahawa bukan mudah untuk membuat pilihan siapa yang tidak boleh bermain dalam perlawanan tersebut.

“Sangat mudah untuk berfikir siapa yang harus bermain, tetapi pada pendapat anda siapa yang tidak boleh bermain? Pasukan ini sangat bagus dan semuanya berjalan dengan baik ketika kami menentang Tottenham,” kata Solskjaer.

“Mason Greenwood pasti akan kecewa kerana tidak diturunkan dalam kesebelasan utama, tetapi ini adalah soal keseimbangan.” kata Solskjaer.