Ulasan Filem Mesti Tonton Warga Manchester United

Perjalanan Fergie dengan karakter pemain tidaklah semegah mana dan beliau lantas menceburkan diri ke bidang pengurusan

0

Jika anda seorang penyokong tegar Manchester United, anda wajib menonton filem dokumentari mengenai kisah perjalanan hidup figura Sir Alex Ferguson ini.

Dokumentari tokoh legenda dari Scotland ini turut memaparkan cerita pasca masalah yang melandanya pada tahun 2018.

Filem arahan Jason Ferguson ini memuatkan segala suka duka dan bagaimana permulaan awal karier bapanya di kejiranan Govan, yang terletak di Glasgow.

Daripada bergelar pemain remaja sehingga ke kemuncak karier sebagai pemain utama Rangers, Alexander Chapman Ferguson tidak lari dari masalah meski dibayangi kejayaan.

Seperti diketahui perjalanan Fergie dengan karakter pemain tidaklah semegah mana dan beliau lantas menceburkan diri ke bidang pengurusan. Di sinilah segalanya bermula.

“Saya tidak perlu mengingati hari semalam kerana hari esok sentiasa ada untuk kita mencuba” ujar Sir Alex Ferguson disalah satu babaknya.

Setelah memimpin pasukan kerdil Aberdeen ke puncak kegemilangan dan turut sempat menerajui skuad kebangsaan Scotland, Ferguson dirisik oleh Manchester United yang ketika itu sedang bergelut di posisi penyingkiran divisyen.

“Saya melangkah masuk ke Old Trafford. Biarpun ia sangat sunyi dan kosong, namun semangat dan auranya anda dapat rasai. Ia juga seperti terdapatnya roh yang sedang berjalan di sekitarnya. Ternyata tempat ini telah ditakdirkan tercipta oleh, Tuhan” kata-kata Fergie ketika pertama kali ke gelanggang Red Devil’s.

Dan segala ceritera beliau pun bermula bersama Manchester United. Di satu ketika hampir saja Sir Alex Ferguson dipecat gara-gara keputusan yang tidak diingini sebahagian besar penyokong.

Selepas itu semuanya telah menjadi satu sejarah yang tidak akan luput dari ingatan kita.

Ayuh, jangan ketinggalan menyaksikan filem dokumentari berdurasi 108 minit ini.

Kepada Sir Alex Ferguson, semoga anda sentiasa sihat dan kekal cergas hendaknya.

- Advertisement -