Buletin Manchester United

Tawaran-kontrak-baru-untuk-Bruno-Fernandes

Tawaran kontrak baru untuk Bruno Fernandes

Bruno Fernandes dikatakan akan mendapat tawaran kontrak baru dan dijangkakan nilainya 2 kali ganda daripada gaji yang diterimanya sekarang. Jika ia berlaku, Bruno akan berada dalam senarai 5 pemain yang mendapat gaji termahal di United.

Pemain antarabangsa Portugal itu telah mempamerkan aksi yang cemerlang di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer selepas menjaringkan 22 gol dan 13 bantuan gol dalam kesemua kejohanan yang disertai United pada musim ini. United kini masih lagi berjuang dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Europa. Fernandes telah menyertai United pada Januari 2020 dengan perpindahan bernilai £67 juta dari Sporting Lisbon dengan kontrak selama 5 musim.

Menurut laporan, pemain berusia 26 tahun ini layak menerima tawaran gaji yang lebih baik selepas dia kini mendapat gaji sebanyak £100,000 seminggu dan dijangka dinaikkan kepada £180,000 seminggu. Bruno kini berada pada kedudukan ke-7 dalam senarai gaji pemain United yang diketuai David De Gea yang memperolehi gaji sebanyak £375,000 seminggu. Paul Pogba yang ke-2 dengan £290,000 dan diikuti £200,000 Anthony Martial kemudian Edinson Cavani dan Marcus Rashford. Ketua pasukan United Harry Maguire pula mendapat gaji £190,000 seminggu melebihi gaji yang diterima Bruno. Fernandes telah melakukan aksi yang berkualiti sejak hadir ke United terutama ketika 6 bulan pertamanya di mana dia telah menjaringkan 12 gol dalam 22 perlawanan bersama United.

Pada musim ini Fernandes merupakan penjaring utama pasukan United dan dia telah mengetuai pasukan United dalam mengasak cabaran Man City dalam saingan Liga Perdana Inggeris. United telah memperagakan aksi yang sangat baik selepas perayaan krismas sebelum berada dalam keadaan yang membimbangkan pada bulan 2 lepas. United pernah berada di puncak liga tetapi kini ketinggalan 14 mata di belakang Man City.

Yang terkini, Solskjaer dikatakan tidak akan membenarkan Fernandes menyertai pasukan kebangsaan Portugal pada bulan ini kerana pihak kerajaan UK dikatakan akan mengenakan tempoh kuarentin 10 hari jika seseorang itu pulang dari negara yang berisiko covid 19.