Solskjaer akui idam bawa Haaland ke United

0 3

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui sampai saat ini, dia sentiasa memantau perkembangan Erlind Braut Haaland dan tidak menafikan pada suatu hari dia akan membawa Haaland ke Old Trafford. Prestasi Haaland pada usia muda ketika bermain untuk RB Salzburg amat bagus dan boleh dikatakan mempunyai penyudah yang berbisa sebagai seorang penyerang.

Namun, Haaland telah memilih untuk berhijrah ke Borussia Dortmund walaupun pada ketika itu, United dikatakan menjadi pilihan utamanya selepas Solskjaer dilantik menjadi pengurus pasukan United pada ketika itu. Haaland pada musim ini telah menjaringkan 15 gol untuk 21 perlawanan dalam Bundesliga. Dia terus menunjukkan prestasi sebagai penyerang berkualiti dan mempunyai masa depan yang cerah kerana baru berusia 20 tahun.

Walaupun United gagal mendapatkan Haaland pada perpindahan sebelum ini, namun United tidak akan berputus asa, dan menyimpan hasrat untuk mendapatkannya pada masa akan datang. Solskjaer tidak akan berputus asa kerana pernah berkerjasama dengan Haaland pada sebelum ini.

‘Haaland telah membuat keputusan yang bagus untuk berhijrah ke Dortmund. Tetapi ia bukanlah pengakhiran bagi kami. Saya pernah berkerjasama dengannya sudah pasti saya gembira dengan perkembangan yang dia telah lakukan di Dortmund. Kami akan berusaha menjadikan pasukan kami menjadi pasukan yang lebih baik dan dia akan melakukan apa yang dia mampu untuk menjadi pemain yang terbaik.’

‘Saya tidak mahu berkata apa-apa selain daripada itu. Saya mendoakan agar yang terbaik buat dirinya. Terpulang kepada dia untuk bermain di mana, kerana dia masih muda, dia mempunyai perjalanan yang masih jauh.’ jelas Solskjaer.

Haaland mempunyai baki kontrak sehingga 2024. Namun jika United ingin mendapatkannya, United perlu berbelanja sehingga 75 juta euro pada akhir musim ini.