Senior versus Junior

0

Sebagai pemain setiap seorang dari mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan didalam mahupun diluar padang.

Begitu juga dengan pemain tengah hebat dunia, Paul Pogba.

Pemenang Piala Dunia 2018 ini terkenal melalui hantaran berkelas tinggi, skil dan rembatan padu ketika beraksi. Namun beliau juga mempunyai kemahiran lain iaitu berjoget samada ketika meraikan jaringan atau diluar lapangan.

Oleh itu Wayne Rooney menceritakan pengalamannya sewaktu masih bersama Pogba sebagai rakan sepasukan.

Menulis di kolumnya untuk akhbar The Times, Rooney berkata;

“Saya masih ingat di suatu hari, kami kembali menjalani latihan selepas tewas pada hari sebelumnya. Kami masih sugul serta kecewa tentang kekalahan tersebut dan melangkah masuk ke bilik persalinan setelah usai latihan bersama Michael Carrick”.

“Kami melihat Pogba dan Lingard sedang asyik berjoget didalam bilik persalinan dengan bunyi muzik yang amat kuat. Saya menyusul masuk, menutup muzik itu dan mencampakkan speaker ke luar bilik persalinan – ia kerana kami dibesarkan dengan mentaliti sebegini untuk berjaya dalam bolasepak”.

“Paul dan Jesse hanya mampu menerima perbuatan saya – kerana saya adalah senior mereka. Tapi sebenarnya untuk perkara itu mereka bukanlah melakukan kesalahan besar, tidak mencederakan orang – cuma ianya bertentangan dengan prinsip dan mentaliti kami sebagai pemain era terdahulu”.

“Sepertimana yang Rio Ferdinand perkatakan, pemain di generasi seperti kami hanya mendengar dan berjoget ketika ‘masanya’ namun pemain pada generasi kini telah banyak berubah”.

Disebalik insiden itu Rooney turut memberikan komen positif mengenai Pogba ketika pemain termahal pasukan tersebut kembali ke Old Trafford.

“Selepas beliau kembali [dari Juventus] pada 2016, kami mempunyai musim yang indah bersama dibawah Jose Mourinho. Selepas itu Pogba membuktikan kepada banyak pihak mengenai harganya melalui betapa fantastiknya kualiti beliau dan mentaliti di atas padang”.

“Beliau sentiasa pemain yang mahukan kemenangan, beliau mempunyai karakter yang kuat dan komited bersama pasukan. Anda sepatutnya tidak menghiraukan mengenai kesilapan kecil Pogba. Segala tentang gaya rambut dan tariannya – tidak mencerminkan semuanya. Tiada apa yang tidak boleh dilakukan bila anda mempunyai pemain sehebat Pogba”.

Rooney turut menambah “Orang luar boleh memberikan kritikan atau pendapat mengenai aksi Pogba didalam dan diluar padang – tapi ada masa konklusi mereka agak terlampau tanpa mereka mengenali karakter sebenar beliau”.

“Melalui pengalaman saya sebagai rakan pasukan, apa yang beliau berikan ketika perlawanan sebenar atau latihan sekalipun – adalah kelas pertama. Selagi beliau tidak mengubahkan segala yang ditawarkan didalam padang dan luar – ia bukan masalah besar untuk pemain hebat seperti Pogba”.

Selepas terkandas di pusingan 16 terbaik Euro 2020, Pogba kini bercuti sebelum kembali ke United. Bagaimanapun timbul desas-desus Paris Saint Germain ingin membidanya ke saingan Ligue 1 melalui bantuan ejen beliau.

Apapun kita tunggu berita selanjutnya mengenai Pogba.

- Advertisement -