Sancho penyelamat Ole Gunnar Solskjaer

Pengurus asal Norway itu sudah memberitahu pihak atasannya untuk menyegerakan pembelian Jadon Sancho.

0 197

Manchester United sekali lagi akan melakukan perpindahan saga melibatkan pemain kebangsaan England. Kali ini didalam percubaan untuk merekrut Jadon Sancho dari Borrusia Dortmund.

Koresponden tersohor, Fabrizio Romano didalam hantaran tweet beliau melaporkan United sudah memulakan langkah awal untuk menghubungi semula pihak BvB serta ejen pemain tersebut. Untuk makluman ini adalah usaha berterusan dari kem Old Trafford menandatangani Sancho selepas beberapa siri kegagalan mencapai kata sepakat pada musim-musim yang lalu.

Melalui perkhabaran awal, United bersedia menawarkan kontrak sehingga tahun 2026 dengan mengenal pasti persetujuan peribadi pihak yang mewakili bekas graduan akademi Manchester City itu.

Sementara Dortmund pula bersedia mendengar dan melepaskan pemain tersebut pada harga anggaran tidak kurang dari €95 atau €90 juta sahaja. Sehingga kini masih belum ada ‘tawaran rasmi’ dari mana-mana pihak termasuklah United.

Mengapa Sancho amat penting kepada United dan Ole?

Pengurus asal Norway itu sudah memberitahu pihak atasannya untuk menyegerakan pembelian Jadon Sancho sejak perpindahan musim panas yang lalu. Malangnya pelbagai kemelut dan proses dokumentasi yang tidak sepakat sering mengagalkan usaha itu.

Ole Gunnar Solksjaer sangat memerlukan khidmat dari Sancho kerana ‘baka’ pemain sayap yang menawarkan servis hantaran lintang berkualiti sangat praktikal didalam sistem 4-2-3-1 beliau.

Selain prioriti hantaran dan bantuan gol, Sancho turut terlibat dalam mencetak gol biarpun beliau tidak mempunyai skema permainan seorang ‘inverted winger’ yang sering masuk ke dalam kotak penalti lawan. Menambahkan lagi minat Ole kepada Sancho adalah mengenai kerajinannya membantu pasukan di saat transisi bertahan dan kecerdasan beliau mengitar kembali bola.

Dengan menggunakan tipikal penyerang tunggal ‘targetman’ seperti Edinson Cavani, mendapatkan khidmat Sancho akan memudahkan lagi tugasan penyerang untuk merobek gawang lain.

Nilai tambah yang dibawa Sancho turut akan menambahkan lagi fluditi atau kecairan pergerakan bola United dibawah sistem diterapkan Ole. Kualiti dan kreativiti Sancho akan turut dicerna pemain lain seperti Bruno Fernandes, Paul Pogba, Marcus Rashford atau Mason Greenwood untuk membantu serta menyokong barisan depan.

Musim 2020/2021, Sancho merekodkan 26 perlawanan (8 gol, 11 bantuan jaringan) untuk Bundesliga. Dalam pertandingan DFB Pokal pula beliau mengharungi 6 perlawanan dan mencatatkan 6 gol dan 4 bantuan jaringan. Di kempen Liga Juara-Juara, Sancho hanya sempat melakukan 2 gol disebalik 6 perlawanan ditempuhi.

Perlu diingatkan, musim 2020/2021 bukanlah musim produktif buat dirinya selepas dilanda kemerosotan prestasi akibat kecederaan. Namun kualiti dan kecerdasan permainan Sancho amat bagus jika berada di prestasi optimum.