Sancho Dan Varane Belum Cukup Untuk Menang Liga – Gary Neville

0

Bekas pertahanan Manchester United yang juga seorang pengulas, Gary Neville mengatakan kehadiran Jadon Sancho dan Raphael Varane belum cukup lagi untuk membolehkan United menang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Menurutnya lagi, United memerlukan seorang penyerang berkaliber seperti Harry Kane. United telah menghabiskan lebih 100 juta Pound untuk mendapatkan Varane dan Sancho untuk menyaingi kekuatan Manchester City.

Tottenham Hotspur telah meletakkan tanda harga 150 juta Pound untuk mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan Harry Kane. Walaupun Manchester City telah menawarkan 75 juta Pound dengan tambahan 25 juta Pound kepada Spurs untuk Kane, tawaran itu telah ditolak mentah-mentah oleh pemilik Spurs, Dany Levy.

Neville percaya apabila United telah berjaya mendapatkan Harry Kane, kejuaraan liga pasti berada dalam genggaman United musim ini.

Dalam temu bualnya bersama Sky Sports, Neville menyatakan selepas United mendapatkan Varane dan Sancho pada musim ini, belum tentu ia dapat menyaingi kehebatan Liverpool yang berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2019/2020 dengan pungutan 95 mata.

“Chelsea telah diperkuatkan dengan kehadiran Lukaku, Manchester City pula telah mendapatkan khidmat Grealish dan sekiranya mereka mendapatkan Harry Kane, United pasti akan menghadapi masalah besar,” ujar Neville lagi.

“Saya tidak tahu Mengapa United tidak mengambil langkah seperti ini. Kebiasaannya mereka begitu mahukan pemain England yang terbaik. Mereka boleh menjual Martial, James dan Lingard, mengapa tidak mahu mendapatkan Harry Kane?”.

“Sekiranya Kane berada dalam pasukan United, sudah tentu mereka boleh mendapatkan 94 atau 95 mata musim ini. Mereka masih boleh menggantikan Martial dan Cavani. Martial masih tidak menunjukkan peningkatan yang bagus dan Cavani belum bersedia lagi, jadi mereka harus mendapatkan Harry Kane sebelum perpindahan musim ini tamat. Saya tidak yakin sekiranya mereka boleh memenangi liga dengan hanya kehadiran Sancho dan Varane.”

Bekas pertahanan United itu berkata lagi, “Anda memerlukan perancangan yang besar untuk memenangi liga. anda perlu bersaing untuk mendapatkan trofi tersebut. Secara dasarnya, sekiranya Manchester City berjaya mendapatkan Harry Kane, Chelsea dengan Lukaku dan Liverpool dengan van Dijk, United perlu sesuatu yang besar untuk mereka.”

“Sekiranya pasukan lain mempunyai pemain yang berkualiti, United perlu bertindak. Manchester United boleh berubah tetapi dari tempat kedudukan kedua ke tempat keempat musim ini.

Rakan pengulasnya, Jamie Carragher pula ketawa dengan cadangan yang dikemukakan Neville. “Awak dan juga Roy Keane sering kali mahukan Solskjaer berbelanja melebihi 100 juta Pound setiap musim.”

Carragher berkata lagi sekiranya United diuruskan pengurus seperti Thomas Tuchel atau Pep Guardiola, United sudah boleh memenangi liga. Chelsea telah mendapatkan Lukaku dan bemula dengan baik musim ini dan kemungkinan mereka yang akan memenangi liga.

Dia juga juga mempersoalkan mengapa United sering kali dibandingkan dengan Liverpool, sedangkan United perlu dibandingkan dengan Manchester City atau Chelsea kerana Liverpool tidak mempunyai dana yang besar.

Walau bagaimanapun, Neville tetap bertegas dengan adanya Harry Kane, United pasti akan lebih berjaya. Menurutnya lagi, pengurus United perlu memperbaiki diri supaya lebih baik di masa depan. Kekalahan pada final Piala Europa musim lepas amat mengecewakan dan mereka perlu memastikan perkara itu tidak berlaku lagi musim ini.

Dia juga memeberitahu bahawa Ole Gunnar Solskjaer mempunyai 12 ke 18 bulan lagi untuk memberikan yang terbaik buat United. Jose Mourinho tidak berjaya di United dan Louis van Gaal telah cuba mengubah cara permainan United juga tidak berjaya. United perlu mendapatkan pemain penyerang utama serta membelanjakan 150 juta Pound sekiranya ingin berjaya. Kehadiran Kane di United akan mengubah segalanya.

- Advertisement -