Buletin Manchester United

Pra-derbi-epik

Pra derbi epik

Jika ada yang bertanyakan perlawanan manakah paling dinantikan segenap lapisan peminat bolasepak dunia, pasti jawapannya adalah Derbi Utara-Barat ini.

Manchester United dan Liverpool

Ia bukan sekadar berkisar mengenai satu perlawanan bolasepak diantara dua pasukan paling berjaya di bumi United Kingdom, malahan ia membawa bersama maruah setempat, keghairahan, legasi, perbezaan sosio ekonomi, budaya dan pelbagai lagi naratif tersirat.

Dari Sudut Perspektif

Kejayaan antara dua kelab ini sangat sukar dicapai mana-mana pasukan lain di England. Di antara mereka terdapat 29 mahkota Liga Perdana Inggeris [termasuk sebelum dijenamakan semula], dan 9 kilauan trofi Liga Juara-Juara Eropah. Dominasi saling bertukar tangan, kekal terpahat sebagai kenangan.Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Situasi Terkini

Jurgen Klopp tanpa disangkal adalah pemboleh ubah Liverpool. Dibawah rejim beliau, Anfield kembali menjadi stadium paling sukar ditewaskan lawan. 67 perlawanan tanpa kalah dalam 3 musim berterusan liga domestik. Selain itu, Liverpool yang semakin berevolusi dibimbingi Klopp sudah meraih Liga Juara-Juara Eropah, Trofi Uefa dan Piala Kelab Dunia. Ternyata aura ‘You Never Walk Alone’ sudah meresapi semua entiti Liverpool semasa mereka buat kesekian lamanya kembali merajai Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Anda memang berhak, Liverpool!

Sementara di sudut Manchester United, selepas persaraan Sir Alex Ferguson, pengurus bersilih ganti bagaikan mencari permata hati. Seperti sirih pulang ke gagang nama Ole Gunnar Solksjaer yang dulu didukung sebagai pemain legenda, kini kembali bersua dengan status pengurus pasukan. Objektifnya tetap sama iaitu mengembalikan semula prestij pasukan seperti dahulu kala. Meski ada yang memandang sebelah mata reputasi beliau umpama setahun jagung, ia tidak sesekali mematahkan semangatnya.

Glory Glory Manchester United!

Perseteruan Berterusan

Tanggal 18 Januari nanti, kedua-dua pasukan ini kembali bertarung. Bersaksikan Stadium Anfield yang penuh nostalgia, menentukan nasib di persada liga.
Bermusuh hanya diatas padang, kekal silaturahim diluar padang.