Perbezaan aksi ‘comeback’ Ronaldo dan Cantona

0

‘Viva Ronaldo, Viva Ronaldo’ , itulah siulan para peminat Manchester United ketika ini selepas Ronaldo tiba di Manchester beberapa hari lepas. Pemain Bintang ini telah kembali ke bumi Manchester.

Perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United di Old Trafford pada Hari Sabtu ini bakal menyaksikan ‘debut’ kedua Cristiano Ronaldo di atas padang sebagai pemain United.

Media di England seperti BT Sport dan Sky Sports sedang mempersiapkan peralatan dan tenaga kerja yang mereka ada untuk berada di Old Trafford Sabtu dalam mempromosi kepulangan semula ‘The Prodigal Son’ iaitu Cristiano Ronaldo atau fenomena ketika ini, ‘Ronaldomania’.

Suasana yang gilang-gemilang bakal berlaku di Old Trafford ketika Ronaldo mengenakan jersi nombor 7 dan berjalan di atas padang. Ronaldo telah pulang awal ke Manchester selepas tidak dapat bermain untuk Portugal dalam perlawanan persahabatan menentang Qatar dan kelayakan Piala Dunia menentang Azerbaijan kerana menerima 2 kad kuning.

Demam Ronaldo Melebihi Kepulangan Cantona?

Eric Cantona pernah menerima penggantungan perlawanan selama 8 bulan selepas insiden dia melayang tendangan ala kungfu kepada seorang penyokong Crystal Palace pada tahun 1995.

Insiden yang penuh dengan nostalgia pahit itu menjadi memori terpahat dalam hati setiap peminat United yang terpaksa menerima hakikat tanpa khidmat Cantona selama 8 bulan.

Perlawanan pertamanya selepas penggantungan tersebut ialah ketika bertemu Liverpool. Dia telah memberikan bantuan gol kepada Nicky Butt seterusnya para peminat menggelarkannya ‘The Return of The King’ iaitu kepulangan seorang raja.

Dia juga menjaringkan satu gol menerusi penalti seterusnya suasana di stadium meraikannya seperti telah memenangi sesebuah kejuaraan. Begitulah cara untuk menggambarkan suasana ketika itu dengan hadirnya seorang penyerang berkaliber di dalam pasukan.

Momentum tersebut membuatkan United berjaya menjarakkan diri dengan pasukan kedua dengan 12 mata seterusnya memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim tersebut.

Kepulangan Ronaldo ke United telah membuka mata banyak pemerhati bola sepak dan United kembali menjadi antara kelab terunggul di dunia.

Ronaldo yang ketika ini berumur 36 tahun sudah tentu mendapat beban yang besar untuk dipikul. Bebanan ini perlu ditempuhi untuk menutup mulut para pengkritik yang tidak yakin dengan kemampuannya untuk memberikan kejayaan buat United.

Ketika menceritakan kembali peristiwa kepulangan Cantona, Gary Neville berkata media ketika itu seperti tempat lawak dan pasukan United yang dipimpin oleh Cantona telah menjadi pasukan yang begitu hebat.

Nicky Butt pula menceritakan kepulangan Cantona seperti kapal yang mendapatkan kembali nakhodanya. Begitulah suasana ketika itu yang menjadikan Cantona seperti pemain bintang yang perlu ada dalam skuad United.

Kepulangan Ronaldo bukanlah hanya untuk menentang Liverpool tetapi untuk menjadikan Old Trafford kembali riuh dan secara peribadi untuknya ialah memecahkan rekod yang ada ketika ini.

Para peminat begitu positif dengan kehadiran semula bintang mereka ini dan sudah pasti Old Trafford akan bersorak gembira pada hari Sabtu ini.

- Advertisement -