Penampilan CR7 pada 2003 menjadi perhatian lagenda George Best

0

Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo bakal membuat penampilan kedua bersama United esok. Kapten Portugal ini akan bermain menentang Newcastle United selepas 18 tahun lepas membuat penampilan pertama bersama United ketika menentang Bolton Wanderes.

Pada tahun 2003, United membeli Ronaldo dari Sporting Lisbon untuk menggantikan David Beckham yang berhijrah ke Real Madrid. Pengurus Bolton Wanderers ketika itu, Sam Allardyce telah diberikan amaran oleh pemainnya supaya berhati-hati dengan Ronaldo yang ketika itu duduk di bangku simpanan.

Allardyce ketika ditemubual The MEN, “Saya telah diingatkan oleh Jardel yang Ronaldo merupakan seorang pemain yang lincah dan bagus, tidak pasti sama ada dia cepat menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris ketika itu atau dia akan bermain esok.”

Ronaldo berada di bangku simpanan dan ketika itu Ryan Giggs telah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan United mendahului Bolton 1-0. Pada minit ke-61, Sir Alex Ferguson merasakan kedudukan tersebut masih belum selamat buat United. Kemudiannya, dia menukarkan Nicky Butt dengan Cristiano Ronaldo. Keputusan tersebut begitu tepat sekali dan akhirnya United menang 4-0.

United kemudian mengganas dengan jaringanuntuk gol ke-2 diikuti Scholes dan Ruud van Nistelrooy untukjaringan ketiga dan keempat. Sepatutnya United boleh menang dengan jaringan 5-0 tetapi Nistelrooy tidak berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas Ronaldo dijatuhkan dalam kotak penalti.

Selepas perlawanan tersebut tamat, cerita mengenai Ronaldo hangat diperkatakan oleh media. BBC dengan kata-kata seperti berikut, “Tengahari ini adalah milik bintang muda baru United, Cristiano Ronaldo yang telah menunjukkan ketangkasan dan bakat yang diketengahkan oleh Sir Alex Ferguson ke Old Trafford dengan harga 12.24 juta Pound.”

Pemain sayap yang lincah ini telah memukau semua mata di Old Trafford dengan mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Bolton dan mengaburi pertahanan lawan supaya pemain lain boleh mendapat ruang untuk menjaringkan gol. Sir Alex Ferguson berkata kepada The Guardian, “Ini merupakan penampilan pertama yang begitu bermakna. Saya tahu corak perlawanan pada separuh masa pertama agak perlahan dan pada separuh masa kedua, Ronaldo pasti akan dapat melakukan serangan berbahaya. David (Beckham) telah banyak berbakti dan berjaya kepada kelab dan sudah pasti akan menjadi sejarah bermakna sampai bila-bila.”

Sam Allardyce pula menambah lagi selepas perlawanan bahawa Ronaldo merupakan pemain yang berada di kelasnya yang tersendiri. Dia begitu menakjubkan dan mendapat penampilan pertama yang memukau. Ronaldo juga mengingatkannya terhadap Ryan Giggs ketika muda di mana dia akan bermain di sayap, di bahagian tengah dan menggunakan kedua-dua belah kaki untuk mengelirukan pemain lawan.

Seorang lagi legenda United berjersi nombor 7, George Best telah memuji Ronaldo yang mempunyai kebolehan yang luar biasa. Ketika ditemubual ESPN, Best menyatakan Ronaldo telah membuat penampilan pertama yang hebat dan menakjubkan.

“Dia mempunyai persamaan dengan saya tetapi pemain ini boleh menggunakan kedua-dua kakinya dengan baik. Dia boleh bermain di bahagian sayap dan menewaskan pemain lawan, membuat hantaran lintang dengan kedua-dua belah kakinya. Bila kali terakhir awak dapat melihatnya?”

Pemain pertahanan Bolton, Nicky Hunt ketika ditanya mengenai Ronaldo oleh ESPN, “Saya telah berhadapan dengan Ryan Giggs untuk 60 minit pertama dan Ronaldo untuk 30 minit seterusnya, ini merupakan hari terburuk untuk saya. Ketika menentang Giggs, Thierry Henry dan Arjen Robben, Kita telah menontonnya melalui video klip, tetapi aksi pemain muda ini tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Saya tidak pasti dia akan menggunakan kaki kanan atau kaki kiri, adakah dia akan bawa ke penghunjung garisan atau terus melepaskan sepakan? Saya merasa begitu susah untuk mengatasi Ronaldo kerana apa yang dia lakukan tidak dapat dijangka kerana dia berlari dengan begitu pantas dan sukar untuk mengejarnya kembali.”

Ronaldo merupakan satu bakat yang sukar dicari ganti. Ramai yang tidak menjangka yang dia akan bermain di tahap tertinggi seperti sekarang ini. Dia yang dulunya merupakan pemain sayap dan semakin lama berkembang menjadi pemain penyerang utama sesebuah pasukan. Dia yang kini merupakan pemain yang paling banyak menjaringkan gol buat pasukan kebangsaan dan Liga Juara-Juara Eropah.

Kini Ronaldo telah berusia 36 tahun dan masih lagi boleh berlari seperti pemain muda. Ronaldo kini masih mengejar target untuk menjaringkan 800 gol dalam karier profesionalnya dan sudah pasti dia akan menggapai impian tersebut dalam musim 2021/2022.

- Advertisement -