Metodologi Pengering Rambut ala Ferguson

Semua pengurus ini berbeza pendekatan namun matlamatnya tetap sama, iaitu menaikkan moral, semangat dan motivasi sepermula perlawanan.

0 100

Setiap pengurus pasukan bolasepak mempunyai metodologi tersendiri menaikkan semangat dan adrenalin para pemain mereka.

Samada secara individual mahupun berdepan kesemuanya.

Pernahkah anda menyaksikan bagaimana Pep Guardiorla melakukan pembentangan di ruang ganti pasukannya? Bagaimana pula Jurgen Klopp memotivasikan anak buah beliau dalam bilik persalinan? Atau apakah yang Jose Mourinho terapkan kepada ‘tentera’ nya di setiap pasukan di bimbing oleh beliau?

Benar semua pengurus ini berbeza pendekatan namun matlamatnya tetap sama, iaitu menaikkan moral, semangat dan motivasi sepermula perlawanan.

Begitu juga dengan figura disanjungi penyokong Manchester United ini, Sir Alex Ferguson yang terkenal dengan metodologi ‘hair dryer treatment’ dan tidak lupa frasa ‘Fergie Time’. Ini antara perkara yang sebati mengenai pengurus segarang asal Scotland tersebut sepanjang menggunguli 38 trofi di Old Trafford.

Apa itu ‘hair dryer treatment’?

Secara langsung, kami memperincikan ia sebagai salah satu cara atau metodologi Fergie untuk mendapatkan yang terbaik dari para pemainnya. Cara ini hanya disasarkan kepada pemain yang beraksi di bawah tahap sebenar dan berkemungkinan besar membuatkan pasukannya tewas seterusnya hilang mata di dalam liga atau terlepasnya sesuatu trofi.

Hamburan tegang dan lantang dari Sir Alex Ferguson sangat maksimum serta terasa bahangnya, lantas di anggap seperti sebuah alat pengering rambut yang di dalam peringkat tertinggi. Bukan itu sahaja, sosok kelahiran Glasgow ini turut akan melampiaskan apa jua alatan yang berada di sekitar andai hilang kawalan.

Tiada siapa yang akan terhindar darinya jika melakukan kesilapan fatal. Tidak kira nama pemain itu besar atau kecil, mereka sentiasa akan dijerkah sekiranya bersalah.

Metodologi cara Ferguson

Beliau beranggapan dengan cara ini para pemain sedar mereka sebetulnya mempunyai potensi yang jauh lebih bagus selain dapat menguji kekuatan mental para pemain ketika di bawah tekanan psikologi.

Ferguson berkata; “Hukuman ini (hair dryer treatment) merupakan sebahagian dari filosofi saya. Sebelum sesuatu perlawanan berakhir, anda semua tidak boleh menyerah kalah walaupun anda sedang ketinggalan. Semua pemain saya wajib mengerti maksud sesuatu perlawanan yang kita tempuhi”.

Sambil itu Ryan Giggs yang merupakan sebahagian graduan Class of’ 92 turut beranggapan kaedah yang digunapakai oleh mentornya itu sebahagian dari cabang psikologi untuk membangkitkan motivasi dan kekuatan mental pemain.

Bercakap kepada beIN Sports, Giggs mengulas; “Beliau adalah master didalam psikologi. Ferguson adalah master untuk mengeluarkan ciri-ciri terbaik dari individu-individu. Ia dilakukan dengan pelbagai cara seperti memeluk erat mereka, memberikan ucapan yang sangat garang dan lantang secara berdepan ketika waktu rehat atau ketika tamat perlawanan seterusnya juga mungkin tidak menurunkan anda pada perlawanan berikut”.

Antara mangsa hukuman

Tim Howard mendapatkan ‘hair dryer treatment’ pada aksi debutnya menentang Arsenal pada saingan Perisai Komuniti 2003. Tidak sesekali Howard akan melupakan kejadian itu yang disifatkan sebagai amat mengerikan.

Menjawab soalan dari wartawan Mirror, Howard berkata;

“Pada rehat babak pertama, Ferguson masuk ke ruang persalinan dengan muka yang merah padam dan seolah-olah mahu menghabiskan saya. Hanya dipisahkan oleh tiga bangku rakan sepasukan saya (jarak Howard dengan Ferguson)”.

“Beliau kemudian mula menjatuhkan hukuman dan berkata, untuk menentang (Thienry) Henry anda memerlukan empat pemain di tembok, anda mempunyai otak bukan, fikirlah! Fergie menjerit dengan urat di lehernya jelas kelihatan”

“Ia belum berakhir, beliau kemudian mengatakan jika anda tidak mampu menangani situasi seperti ini saya akan memulangkan anda segera ke MLS (Major League Soccer). Ungkapan akhir itu terus terngiang di telinga saya”.

Superstar Beckham pun tiada terlepas

United tewas kepada Arsenal 0-2 di dalam aksi Piala FA 2003. Ferguson sangat berang dengan keputusan tersebut, dan sasarannya kali ini adalah David Beckham, seorang lagi graduan Class of’ 92.

Dengan status bintang selebriti kerana ketika ini Beckham sedang berpacaran dengan Victoria dari kumpulan penyanyi wanita Spice Girls, dan nama besarnya selaku ikon bolasepak global membuatkan sang pengurus semakin kurang senang mengenai habit anak buahnya itu.

Berlaku pertengkaran antara mereka berdua. Ferguson menuduh pemain yang mempunyai kepakaran sepakan percuma tersebut antara punca kekalahan pasukan. Fergie turut meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai Beckham yang tidak membantu rakan sepasukan ketika fasa bertahan.

Egois penyarung jersi nombor tujuh itu semakin terserlah. Beliau memprovokasi Ferguson dengan menyatakan tiada kesalahan dilakukannya dan kerja bertahan bukanlah tugasan beliau.

Dengan mood yang bengang, Fergie hilang kawalan mengherdik pemain itu. Tanpa disedari beliau turut tersepak salah satu kasut bola ke kening kiri pemain tampan tersebut. Beckham ingin bertindak balas, namun mereka berdua kemudiannnya di leraikan oleh mereka yang berada di sekitar bilik persalinan.

Perseteruan duo ini lantas dihidu media selepas itu. Tidak lama kemudian, David Beckham dilepaskan ke Santiago Bernebau walaupun masih di dalam prestasi terbaik.

Jika dihitung banyak lagi kisah pemain United yang dikenakan ‘hair dryer treatment’. Namun Sir Alex mengesahkan hanya terdapat enam pemain yang benar-benar dijatuhi hukuman.

Siapa yang tidak pernah dikenakan hukuman Sir Alex?

Ryan Giggs menambahkan kepada beIN Sports;

“Mungkin ada tiga atau empat pemain yang terlepas hukuman. Eric Cantona adalah paling tidak disentuh biarpun beliau melakukan perkara tergempar. Kemudian ada Bryan Robson, Roy Keane dan Cristiano Ronaldo. Mereka ini adalah pemenang dengan cara tersendiri dan sukar mencari kesilapan mereka. Tugasan yang dilakukan mereka sangat sempurna, jadi tiada ruang dan peluang untuk mereka merasai ‘hair dryer treatment’ di masa itu”.

Seperti yang kami simpulkan, setiap pengurus mempunyai perbezaan pendekatan untuk memotivasikan pemain mereka.

Begitu juga dengan Sir Alex Ferguson. Memasuki musim-musim awal kewujudan media sosial, beliau beranggapan hukuman sedemikian tidak lagi relevan dan kelihatan usang.

Bagi beliau, pemain era baharu ini lebih mudah terasa dan hilang kekuatan mental. Para pemain tidak mampu menahan dinasihati dengan teguran keras, seterusnya pemain akan memboikot pengurus dan bertindak keluar dari pasukan pada jendela perpindahan kelak.

Ferguson didalam temubual pasca persaraannya, berkata; “Saya sedar, pemain hari ini lebih sulit dan sukar ditangani. Selain faktor kemewahan cara hidup, media sosial, hukuman ‘hair dryer treatment’ bukanlah satu metodologi tepat untuk digunakan ketika mental mereka telah jatuh”.

Anda rindukan ‘hair dryer treatment’?