Menuju Destinasi

0

Selepas 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester United kembali ke puncak setelah menewaskan Fulham di Craven Cottage. Berbanding posisi musim 2019/2020 dimana Manchester United sekadar berada pada kedudukan ke-8 usai setengah musim saingan liga apabila membenam Newcastle United di Old Trafford.

Kedudukan terkini yang diraih bukanlah pengakhiran sebuah cerita. Masih banyak kisah suka atau duka akan dilalui. Seperti sebuah bahtera megah yang dinaungi oleh sang nakhoda, berlayar di lautan luas nan bergelora ombaknya. Setiap ceruk benua ada cabaran dan rintangan. Taufan dan badai bersilih ganti memberikan cabaran kepada kelasi mahupun anak kapal. Disinilah teruji kebijaksanaan nakhoda menyusun atur arah kompas dan membuat keputusan.

Jika hasilnya membuahkan keuntungan kepada seluruh warga bahtera, nescaya akan sampailah ia ke destinasi tujuan. Sebaliknya pula, andai kesilapan membuat perkiraan terjadi, maka karamlah bahtera yang megah itu ditelan lautan didasarnya dek memandang enteng cabaran mendatang. Ini bukannya saat kita terlalu bergembira dengan prestasi pasukan. Jarak mata antara lawan sangat rapat dan Liga Perdana Inggeris sendiri dikenali sebagai saingan paling kompetitif di dunia bolasepak.

Justeru berpada-pada lah meraikan ‘kegembiraan’ ini. Ada yang memerhatikan dari bawah sana. Akhir kalam, semoga kita semua dikalangan yang bertuah menyambut bahtera megah itu kelak.

- Advertisement -