Berita Terkini

Mason Greenwood Tidak Sehaluan Dengan Cristiano Ronaldo

png_20211223_023237_0000

Manchester United sedang diselubungi  dengan masalah di kalangan pemain bila mana Mason Greenwood dikatakan tidak sehaluan dengan Cristiano Ronaldo. Bintang muda England itu pernah disebut sebagai pemain yang bakal menyinar dalam dunia bola sepak, tetapi kebelakangan ini beliau sering disisihkan kerana kehadiran Ronaldo ke Old Trafford sejak awal musim. Sumber dari El Nacional berkata Greenwood dikhabarkan kecewa dengan kekurangan minit permainan dan hakikatnya yang harus ditelan oleh beliau adalah Ronaldo akan sentiasa disenaraikan dalam kesebelasan utama United.

Laporan itu juga menyebut Greenwood tidak gembira dengan peranan pemenang 5 kali Ballon d’Or itu ketika mengawal situasi di bilik persalinan yang dianggapnya terlalu cepat sebagai seorang yang baru kembali ke kelab lamanya. Sememangnya Greenwood adalah pilihan kegemaran pengurus United terdahulu, Ole Gunnar Solskjaer, tetapi masa depannya mungkin sedikit terancam apabila tampuk pengurusan bertukar tangan setelah Ralf Rangnick dilantik sebagai pengurus interim.

Sumber mengatakan bahawa Greenwood mungkin akan mempertimbangkan masa depannya di United dan dalam masa yang sama telah menarik minat beberapa kelab elit eropah untuk memantau dengan lebih dekat lagi situasi pemain itu. Pesaing Liga Perdana, Arsenal termasuk Juventus dan Barcelona telah beberapa kali dikaitkan dengan Greenwood.

Desas desus ketidaksefahaman antara Ronaldo dan Greenwood kali ini bukanlah yang pertama didengari. Sebelum ini Ronaldo pernah mempersoalkan komitmen pemain-pemain muda rentetan kekalahan 5 – 0 kepada Liverpool. Ianya telah menyebabkan beberapa pemain muda tidak senang duduk dengan rungutan pemain dari Portugal itu seperti yang didedahkan oleh DAZN melalui sumber The Telegraph, Ronaldo berkata, “Saya tidak maksudkan hanya dalam bola sepak, tetapi ketahuilah generasi baru sejak 1995 berfikir dengan cara yang berbeza.”

Lain-Lain Artikel