Kieran Trippier sebagai saingan Wan-Bissaka?

Bekas pemain pertahanan kanan England ini pasti menjadi rebutan kelab di Liga Perdana Inggeris.

Quality Sport Images/Getty Images
0

Manchester United sering dikatakan menjadi sebagai salah satu kelab besar di Liga Perdana Inggeris yang akan aktif dalam pasaran perpindahan yang akan datang. Kelab yang berpangkalan di Old Trafford telah digosipkan dengan pelbagai pemain untuk meningkatkan kualiti pasukan mereka.

Kesukaran bersaing dengan Manchester City di Liga Perdana Inggeris, kegagalan dalam Liga Juara-Juara Eropah dan sukar untuk mengekalkan konsistensi dalam kemenangan menjadi pencetus kepada gosip perpindahan-perpindahan tersebut.

Terdapat beberapa posisi dalam pasukan United yang perlu Ole Gunnar Solskjaer perbaiki, baik untuk pilihan utama mahupun pilihan keduanya. Pertahanan kanan adalah salah satu bahagian yang mendapat perhatian. Aaron Wan-Bissaka adalah pilihan utama tanpa sebarang pemain saingan yang berkualiti. Faktor tersebut membuatkan Bissaka kurang mendapat rehat dan sekaligus boleh mengundang masalah ketidak konsistenan dan kecederaan.

Menurut laporan dari The Athletic, Kieran Trippier adalah salah satu pilihan yang dipertimbangkan oleh pengurusan Man United. Kontrak Trippier dengan Atletico akan berakhir pada akhir musim 2021/22. Sekiranya pengurusan Atletico Madrid tidak mendapat kata sepakat dalam pembaharuan kontrak bagi Trippier, musim panas 2021 adalah masa yang sesuai untuk melepaskan khidmat pemain tersebut. Jika tidak Trippier akan meninggalkan kelab secara percuma.

Oleh yang demikian, ada beberapa kelab dari Liga Perdana Inggeris seperti, Everton juga didakwa sedang memerhatikan Trippier. Everton yang ingin memperkuat pilihan mereka di bahagian pertahanan kanan. Selain it, dikhabarkan juga PSG tidak terkecuali dalam perebutan ini. Mauricio Pochettino kini menjadi jurulatih utama kelab Perancis tersebut pernah bekerjasama dengan Trippier ketika mereka berada di Tottenham Hotspur.

Walau bagaimanapun, Trippier lebih mempertimbangkan kemungkinan untuk kembali ke England jika dia meninggalkan Atletico Madrid. Trippier berpeluang untuk meraih kejuaraan La Liga bersama skuad Diego Simeone pada musim ini jika mereka mencapai kemenangan dalam baki perlawanan tersebut.

- Advertisement -