Kedatangan Varane Menyaksikan Tuanzebe Dipinjamkan – OGS

0

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer telah mengesahkan kemasukan pemain antarabangsa Perancis Dari Real Madrid, Raphael Varane.

Perjanjian Varane ke United belum dimuktamadkan kerana perlu menjalani beberapa proses yang ditetapkan kerajaan Great Britain. Pada hari selasa yang lalu, media sosial rasmi United telah secara rasmi mengumumkan Raphael Varane sebagai pemain baru United.

Kedatangan Varane ke Ole Trafford sudah tentunya akan menyaksikan seorang pemain pertahanan tengah United iaitu Axel Tuanzebe akan dihantar ke kelab lain sebagai pemain pinjaman.

Bercakap kepada media selepas perlawanan menentang Brentford awal pagi tadi menyaksikan United seri 2-2 dengan kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, Solskjaer menyatakan proses kemasukan Varane ke United sedang diatur dengan terperinci dan Tuanzebe akan dipinjam ke kelab lain. Sementara itu, Phil Jones sudah bersama menjalani latihan sepasukan.

Dalam kempen pra-musim kali ini, Axel Tuanzebe telah dipilih sebagai pemain pertahanan tengah untuk kesebelasan utama dalam ketiga-tiga perlawanan. Dengan kedatangan Varane, dia telah menjadi pertahanan tengah pilihan kelima di belakang Harry Maguire, Victor Lindelof dan Eric Bailly.

Tuanzebe juga dikatakan menarik minat Newcastle United di bawah kendalian Steve Bruce. Sebelum ini, dia juga pernah dipinjamkan ke Aston Villa. Hal ini merupakan satu peluang kepada Tuanzebe membuktikan yang dia layak untuk menyarung jersi United dengan memberikan persembahan yang meyakinkan.

Solskjaer dalam satu kenyataannya memberikan pujian kepada Raphael Varane yang datang ke United dengan rekod kejayaan yang hebat. Dia juga telah mendapat perhatian Sir Alex Ferguson ketika berusia 18 tahun yang pada waktu itu dia bermain untuk kelab Perancis, Lens pada tahun 2011. Akan tetapi, Varane lebih memilih Real Madrid untuk mengembangkan bakatnya.

Karier Varane di Real Madrid telah terbukti berkesan dan berjaya dengan pelbagai kejayaan termasuklah 4 kali memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Solskjaer menyatakan, “Apa yang saya ketahui, kelab telah membuat yang terbaik untuk menguruskan kemasukannya. Saya tidak pasti dengan tempoh masa yang ditetapkan. Sudah tentu ia melibatkan visa kemasukan, Brexit dan tempoh kuarantin. Semuanya akan dijalankan secepat mungkin mengikut undang-undang.”

Kembalinya Phil Jones

Solskjaer telah memberikan kenyataan mengenai perkembangan Phil Jones. Dia tidak beraksi dengan pasukan United sepanjang musim 2020/2021 akibat kecederaan.

Jones dilihat sudah tidak mempunyai karier di United. Objektifnya sekarang ini ialah untuk memulihkan tahap kecergasan dan fizikalnya sebelum beraksi di kelab lain.

Dia juga boleh beraksi dengan pasukan United bawah 23 tahun di bawah kendalian Paul McShane sebagai seorang pemain yang lebih umur.

Selain itu, Jones juga boleh dihantar ke kelab lain sebagai pemain pinjaman dan United terpaksa membayar sebahagian dari gajinya sepanjang tempoh pinjaman tersebut.

- Advertisement -