Buletin Manchester United

FB_IMG_1615814771337

Kabel siapa lebih besar

Perlumbaan untuk mendapatkan Erling Haaland kini semakin serius di kem Manchester United.

Pemain muda sensasi yang beraksi buat Borrusia Dortmund itu menunjukkan prestasi cemerlang di Bundesliga dan Liga Juara-Juara Eropah dengan rekod gol mengagumkan. Perkara sedemikian membuktikan dirinya sebagai pengempur yang tepat untuk direkrut oleh Ole Gunnar Solksjaer.

Beliau juga mempunyai hubungan erat bersama pengurus tersebut kerana pernah membarisi skuad Molde sebelum ini yang dibimbing Solksjaer. Kemungkinan untuk Solksjaer mempengaruhi penyerang itu ke Old Trafford tampak cerah, ditambah dengan aksi Liga Juara-Juara Eropah sebagai sandaran.

Manchester United sememangnya memerlukan seorang penyerang dari baka ‘targetman’ selepas penjualan Romelu Lukaku ke Inter Milan pada musim panas lalu. Haaland sebelum ini sudah dirisik oleh Ed Woodward selaku ketua panel perpindahan namun pelbagai masalah dari persetujuan dokumentasi dan kelewatan maklum balas menyaksikan permata Norway itu memilih Dortmund sebagai destinasi.

Walaupun mempunyai barisan penyerang dalam skuad semasa, namun ketajaman penyudah menjadikan isu Haaland sebagai prioriti United. Anthony Martial semakin menurun prestasi, Edi Cavani mungkin dilepaskan selepas tempoh singkat dan Marcus Rashford serta Mason Greenwood pula masih ketandusan idea mencetak jaringan. Untuk memenangi trofi, United tiada pilihan lain selain mencari seseorang yang prolifik dan klinikal di depan gawang.

Terbaru, dikhabarkan Ole Gunnar Solksjaer dan Pengarah Sukan, John Murtough saling bersetuju transaksi perpindahan Erling Haaland adalah matlamat utama pada jendela perpindahan musim panas kelak.

Bersama koleksi jaringan 47 gol daripada 48 penampilan berseragam kuning hitam dengan hanya mengambil masa 15 bulan sejak menyertai Dortmund, Haaland mempunyai klausa pelepasan £70 juta. Kelab semasa beliau turut bimbang mengenai akaun kewangan mereka disebabkan pandemik Covid-19 dan ini memaksa pasukan yang masih bersaing di suku akhir Liga Juara-Juara itu berkemungkinan melepaskan pemain bintang apabila musim tamat nanti.

United dilihat tidak terkesan dengan harga dipinta, namun masih ada satu yang akan menghalang niat mendaratkan Haaland ke Old Trafford.

Apakah halangan itu?

Sudah pasti ejennya, Mino Raiola. Umum juga mengetahui hubungan Manchester United dengan Raiola sering bergeseran. Ia berikutan beberapa kenyataan pedas dari super ejen itu mengenai kliennya, Paul Pogba yang tidak gembira di kelab. Raiola turut lantang menyuarakan masa depan kliennya yang mana ia sekadar imbuhan buat dirinya menjana pendapatan lumayan.

Ketika ini desas-desus Raiola sedang menasihatkan Haaland supaya menetapkan gaji mingguan sebesar £350 ribu untuk mana-mana pasukan mendapatkan khidmatnya. Sekali lagi Raiola menggunakan kepakarannya yang kelihatan seakan-akan melindungi klien beliau. Walhal beliau tidak berpuashati kerana pemain tersebut tidak dapat ‘diniagakan’ pada harga yang lebih disebabkan formaliti klausa pelepasan.

Mampukah Ole Gunnar Solksjaer menggunakan pengaruh beliau untuk meyakinkan Haaland ke Theatre Of Dreams?

Atau Mino Raiola muncul sebagai penghalang hasrat jutaan peminat The Red Devil’s?

Sama-sama kita tunggu!