Hero United bawa England ke Final

0

England telah menewaskan Denmark 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Bintang Manchester United, Harry Maguire dan Luke Shaw telah bermain selama 120 minit selepas perlawanan terikat 1-1 pada perlawanan 90 minit. Permainan diheret ke masa tambahan dan Harry Kane berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-104 menerusi sepakan penalti apabila Sterling dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan pemain yang baru dibeli United, Jadon Sancho tidak diturunkan dalam perlawanan ini.

Maguire Dan Shaw Menyinar Sekali Lagi

Harry Maguire dan Luke Shaw memberikan persembahan mantap dalam mengemudi bahagian pertahanan England.

England yang pertama kali dibolosi dalam kejohanan ini apabila jaringan dari sepakan percuma yang cantik Mikkel Damsgaard menerjah jaring. Akan tetapi, England masih belum dibolosi dalam permainan terbuka. Sepakan percuma tersebut terhasil selepas Luke Shaw menjatuhkan salah seorang pemain Denmark di luar kotak penalti.

Walaupun insiden ini terjadi, persembahan Shaw Tetap mantap. Dia telah melakukan 114 sentuhan dan 47 dari 85 hantaran dilakukan dalam separuh padang pihak lawan. Dia juga berjaya dalam 9 ‘duels’ dengan pemain lawan.

Harry Maguire pula hampir menjaringkan gol apabila bola tandukannya telah ditepis keluar oleh Kasper Schemeichel yang juga bekas rakan sepasukannya di Leicester City.

Final Euro 2020 pula akan menyaksikan Italy bertemu England di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin jam 3 pagi waktu Malaysia.

Final yang begitu hebat ini pasti akan menyaksikan aksi yang menarik kerana kedua-dua pasukan masih belum kalah lagi dalam kejohanan ini. Sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan rekod mereka tidak akan dicalar dalam perlawanan akhir ini.

Sebagai peminat Manchester United, kita pasti mahukan bintang-bintang United seperti Marcus Rashford, Harry Maguire dan Luke Shaw menggapai pingat kemenangan dan menjulang trofi Euro 2020 selepas kekecewaan di perlawanan akhir Piala Europa pada musim lalu.

- Advertisement -