Hero tidak didendang Tiga Singa

0

Pemain bek sisi Manchester United, Luke Shaw mempamerkan satu lagi persembahan mantap dan cemerlang ketika membantu skuad Euro Three Lions menewaskan Die Mannschaft dalam pusingan 16 terbaik.

Shaw menikmati musim yang sungguh positif dengan pasukan Red Devil’s sebelum itu terus menerus membuktikan keupayaannya untuk berhak bersama kesebelasan utama England.

Di United pemain yang pernah mengalami kecederaan amat serius ‘tibia and fibula fracture’ serta ‘groin injury’ bangkit dan tidak mengenal erti putus asa untuk kembali ke tahap sekarang.

Pemilik tetap bek sisi kiri United ini berjaya mengenepikan Alex Telles dalam perebutan posisi tersebut dan kini tempatnya bersama skuad England tampak kukuh selepas persembahan memukau dipamerkan dalam pertemuan menentang Jerman.

Sepertimana ketika bersama Manchester United, di bawah bimbingan Gareth Southgate juga Shaw dituntut melaksanakan tugasan ofensif, mencipta peluang, melakukan sepakan percuma dan tidak ketinggalan fasa bertahan.

Berdepan secara langsung dengan salah seorang prospek hebat Eropah iaitu Joshua Kimmich, beliau berjaya meneutralkan keberadaan pemain Deutschland itu serta mengekang asakan dari barisan depan Jerman yang lain.

Di samping itu statistik merekodkan Shaw melakar 100 peratus bentesan sempurna, 91 peratus ketepatan hantaran, 5 kali hantaran akhir ke kotak penalti lawan, 2 kali pengitaran kembali bola, 1 kali pelepasan bola bahaya, memenangi 1 foul dan yang paling utama 1 bantuan jaringan.

Kesemua rekod yang dicatatkan bukanlah kebetulan. Shaw sememangnya mempunyai persembahan konsisten sejak awal musim lalu dengan kepercayaan yang diberikan Ole Gunnar Solksjaer justeru turut mencuri tumpuan Gareth Southgate untuk menurunkannya berbanding bek sisi Chelsea yang juga pemenang Liga Juara-Juara, Ben Chillwell.

Kualiti yang dipertontonkan Shaw mendapat pujian dari banyak pihak. Kesemua mereka menghamburkan respon positif dengan kerja keras beliau.

Ada juga yang menyindir bekas boss United, Jose Mourinho selepas The Special One sering mengkritik dan menunjukkan gestur negatif mengenai personal ataupun kualiti Luke Shaw.

Jelas sekali majoriti bekas pemain dan netizen mengagumi serta menghargai keazaman seorang pemain yang pernah diprovokasi oleh pengurusnya satu ketika dahulu.

Jalan terus, Luke Shaw.

- Advertisement -