Gary Neville Menyokong Dean Henderson Menjadi Penjaga Gol Utama United

0 10

Berita mengenai masa depan David de Gea bersama dengan Manchester United telah menjadi salah satu perkara yang telah dibincangkan sejak kebelakangan ini. De Gea tidak lagi menjadi pilihan utama Ole Gunnar Solskjaer dan ini sekaligus menjadikannya perkhabaran pemergian De Gea pada musim panas 2021.

United dikatakan sedia menerima sebarang tawaran untuk melepaskan khidmat penjaga gol utama mereka, De Gea. United juga dikatakan telah bersdia untuk memberikan tanggungjawab penjaga gol utama United kepada Dean Henderson. Dean yang baru berusia 24 tahun bakal menjadi pengganti jangka panjang bagi De Gea.

Henderson juga dikatakan telah mempamerkan aksi tangkas ketika United menentang Spurs baru-baru ini walaupun dia direhatkan ketika mana United menang ke atas Granada. De Gea telah diberi peluang untuk berada di gawang gol United bagi perlawanan Piala Europa.

Persoalan mengenai siapakah yang bakal dijadikan oleh Solskjaer sebagai penjaga gol utama United semakin jelas. Salah seorang pemain pertahanan legenda mereka, Gary Neville, telah menyuarakan pendapat mengenai situasi tersebut. Pemain berusia 46 tahun itu menyokong Dean Henderson untuk menjadi penjaga gol nombor satu The Red Devils.

“Saya benar-benar terpesona dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Dean Henderson. Ini adalah persoalan besar. Saya rasa posisi yang paling harus mendapat perhatian dalam bola sepak adalah menjadi penjaga gol nombor satu di Manchester United,” kata Neville ketika ditemubual Daily Mail.

“Henderson adalah penjaga gol muda, tetapi dalam lima hingga 10 perlawanan pertama dia kelihatan sangat yakin. Anda harus mempunyai keberanian untuk mengambil posisi itu (penjaga gol) sepenuhnya, jika anda inginkan posisi tersebut.” tambahnya.

Sehingga kini, Ole Gunnar Solskjaer masih belum membuat keputusan jelas mengenai pemain mana yang akan menjadi pilihan utama untuk berada di gawang gol Manchester United, jika Henderson menjadi pilihan tersebut maka, De Gea boleh bersedia untuk meninggalkan United dan berpotensi untuk berhijrah ke PSG, Atletico Madrid atau Real Madrid. De Gea pasti tidak selesa berada di belakang Dean setelah begitu lama selesa menjadi penjaga gol United.