Formasi 3-5-2? Gandingan Cavani CR7 atau CR7 Greenwood?

0

Manchester United mengharapkan perkhabaran gembira mengenai status kecederaan yang di alami Harry Maguire dan Luke Shaw. Mereka berdua telah mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Aston Villa baru-baru ini. Dengan pergantungan Wan-Bissaka disebabkan layangan kad merah pada perlawanan menentang Young Boys, Solskjaer akan berhadapan dengan pasukan Villarreal tanpa 3 tonggak utama di bahagian pertahanan nanti.

Dijangka Diogo Dalot akan menggantikan tempat Bissaka manakala Alex Telles akan mengambil tempat Luke Shaw. Jika benar situasi ini, maka Solskjaer akan dihidangkan dengan 2 pemain ‘full-back’ yang mempunyai kelebihan menyerang daripada peranan bertahan. Dalot sudah mempunyai peningkatan ketika melakukan peranan bertahan, tetapi Telles dilihat bergelut dengan persembahan semasa aksi Piala Carabao, dia masih lagi mempunyai kekurangan ketika melakukan peranan bertahan.

Oleh yang demikian, United dijangka akan meletakkan 3 pertahanan tengah untuk membantu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan United. Adakah kita akan disajikan dengan formasi 3-5-2? Kali terakhir Solskjaer menggunakan formasi ini pada awal permainan, United tewas kepada Leipzig dan mengakibatkan United tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan adanya 3 pertahanan di bahagian tengah ini Solskjaer dapat memberikan sedikit perlindungan di bahagian pertahanan United. Solskjaer dijangka akan menurunkan Lindelof dan Baily bergandingan dengan Varane. Makanya Telles dan Dalot mempunyai lesen besar untuk membantu bahagian serangan United terutama di bahagian sayap.

Matic dijangka akan kembali bermain dalam kesebelasan utama kerana dia mempunyai kualiti yang amat bagus jika United bermain dengan 3 pertahanan. Namun rombakan di bahagian depan dan tengah akan menjadi kesukaran kepada Solskjaer. Jika formasi 3-5-2 ini digunapakai, Matic dijangka akan bergandingan dengan Pogba di bahagian tengah. Sukar pada ketika ini untuk meletakkan Pogba di bangku simpanan. Bruno Fernandes tiada masalah untuk mengekalkan posisi perancang utama United manakala di bahagian serangan adakah gandingan CR7 dengan Cavani atau CR7 dengan Greenwood?

Greenwood pasti akan menjadi nadi utama di bahagian serangan United jika diturunkan. Lariannya ke arah pemain pertahanan lawan dapat mengucar-ngacirkan mereka. Larian-larian yang dilakukan oleh anak muda ini dapat membantu United dalam serangan balas jika mendapat peluang. Namun berkemungkinan CR7 akan bergandingan dengan Cavani juga boleh berlaku kerana, kualiti hantaran lintang Telles dan Dalot dijangka akan memberikan peranan penting kepada kedua-dua penyerang ini untuk menghasilkan gol.

Perkara yang utama adalah untuk memusnahkan kubu pasukan pasukan lawan. Gunalah apa cara sekali pun untuk mendapatkan gol. 3 pertahanan yang bakal digunakan United ini mempunyai kualiti larian yang pantas. United tidak perlu gusar mengenai perkara itu. United harus menang dalam perlawanan ini untuk memastikan mereka berada di landasan yang tepat untuk layak ke peringkat seterusnya.

- Advertisement -