Cavani Keluar, Ronaldo Masuk? Dua Masalah Bakal Selesai?

0

Manchester United dilihat kurang berminat untuk mengambil semula bekas bintangnya dahulu, Cristiano Ronaldo kerana adanya Edinson Cavani dalam skuad United. Tempoh perpindahan musim panas bakal berakhir dalam beberapa hari lagi. Adakah United memerlukan Ronaldo atau mengekalkan Cavani?

Dalam situasi semasa ketika ini, Cavani dilihat begitu cergas dan sudah bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa. Cavani merupakan pemain berjersi nombor 7 terbaik yang United ada sejak keberangkatan Ronaldo ke Real Madrid pada tahun 2009. Dia juga baru semusim berada di Old Trafford.

Cavani pula dikatakan begitu komited dengan pasukan kebangsaannya, Uruguay dan hal ini juga menimbulkan satu masalah buat United. Ketika ini, dia dilarang untuk bermain bersama skuad kebangsaan Uruguay untuk kelayakan Piala Dunia 2022.

Pihak Liga Perdana Inggeris telah mengeluarkan arahan terbaru kepada semua kelab yang bertanding supaya melarang para pemain yang berasal dari senarai negara yang ‘disenarai merahkan’ untuk bersama skuad kebangsaan mereka disebabkan virus Covid-19.

Cavani dijangka terlepas 3 perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Bulan September ini. Sekiranya dia berkeras untuk bersama skuad kebangsaan, dia bakal terlepas 2 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan 1 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah kerana perlu dikuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan bersama kelab masing-masing.

Dia juga bakal terlepas perlawanan menentang Liverpool pada bulan Oktober nanti sekiranya dia tetap mahu bersama skuad Uruguay. Cavani dilihat tidak gembira dengan arahan baru yang diperkenalkan FA England.

Menurut laporan media Sport890, presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, Ignacio Alonso menyatakan yang dia telah bercakap dengan Cavani mengenai perkara tersebut dan dijangka akan ada jalan penyelesaian dalam masa terdekat. Selain itu, senarai pemain akan diumumkan tidak lama lagi dan juga tiket penerbangan telah ditempah untuk para pemainnya. Bermain untuk pasukan kebangsaan bukanlah satu jenayah tetapi Cavani agak kecewa jika tidak dapat beraksi.

Dari perspektif Manchester United, kelab hanya mahu memastikan para pemain dapat memberikan komitmen tanpa sebarang masalah. Sekiranya kerajaan England dapat mengurangkan tempoh kuarantin kepada para pemain luar yang baru pulang dari skuad kebangsaan, kemungkinan masalah seperti ini tidak timbul.

Tukar Cavani Dengan Ronaldo?

Satu masalah seperti ini mungkin akan selesai sekiranya pihak United berhubung dengan kelab Juventus. Sekiranya United dapat membuat pertukaran pemain antara Cavani dan Ronaldo, ini merupakan situasi menang-menang. Ronaldo boleh bermain untuk United dan juga mendapatkan kembali jersi keramat nombor 7 miliknya kalau situasi ini terjadi. Juventus pula boleh mendapatkan penyerang utama baru iaitu Cavani.

Cavani boleh bermain di sebuah kelab terbaik di Itali iaitu Juventus. Dia juga tidak perlu dikuarantin setelah kembali pulang dari skuad kebangsaan kerana Itali tidak mengeluarkan arahan kuarantin seperti di England. Manchester City juga tidak mendapat apa-apa peluang untuk mendapatkan tandatangan Ronaldo. Situasi ini juga nampak sukar untuk kedua-dua pihak kerana tempoh perpindahan semakin ke penghujungnya. Perkara ini dapat menyesuaikan 2 isu semasa berkaitan masalah Cavani untuk bermain bersama skuad Uruguay dan juga tiada siapa peminat United yang mahu melihat Ronaldo memakai jersi Manchester City.

- Advertisement -