Bruno Fernandes inginkan kepastian

0

Beberapa media di England melaporkan Bruno Fernandes menolak perbincangan mengenai kontrak baharu serta kenaikan gaji lebih £200 ribu seminggu beliau di Old Trafford.

Pemain Terbaik Manchester United itu dikatakan mahu mengetahui jaminan serta kepastian hala tuju pasukan juara 20 kali Liga Perdana Inggeris menjelang pintu perpindahan musim panas kelak.

Bruno yang menyertai The Red Devil’s pada Januari 2020, mempunyai kontrak sehingga Jun 2025 dengan tambahan pilihan setahun. Beliau yang bersama kelab dari Sporting Lisbon, ketika ini mendapat gaji mingguan £180 ribu seminggu. Ia bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding gaji diterima David De Gea [£375 ribu], Paul Pogba [£290 ribu], Anthony Martial [£250 ribu] dan Edi Cavani [£210 ribu].

Ramai pemerhati dan penyokong pasukan beranggapan Bruno sewajarnya mendapatkan gaji yang lebih lumayan diatas impak dan sumbangan beliau terhadap prestasi Manchester United.

Namun buat pemenang empat kali Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris tersebut, wang bukanlah masalah utama beliau menolak perbincangan tersebut. Sebaliknya Bruno mahukan kepastian dari pengurusan tertinggi kelab dalam transaksi perpindahan yang dibuka kelak.

Beliau ingin melihat apakah hala tuju pasukan diwakilinya itu. Seperti diketahui, kualiti semasa di kem Manchester United masih jauh ketinggalan berbanding beberapa pasukan utama Eropah; contohnya Man City, Liverpool, Paris Saint Germain atau Bayern Munich.

Seandainya Ole Gunnar Solksjaer tidak menekan pihak atasan untuk merekrut pemain berkualitas ke Old Trafford, tidak mustahil Bruno akan menolak semua perbincangan dijadualkan. Ini kerana sejak kehadirannya ke dalam pasukan, beliau membawa beban tersebut secara ‘bersendirian’ walaupun dikelilingi pemain lain. Setiap kali pasukan tewas dan keputusan buruk melanda, nama Bruno Fernandes akan menjadi perhatian dan kecaman dari pengkritik.

Umum mengetahui bekas kapten Sporting Lisbon ini memiliki jiwa dan semangat yang sangat tinggi setiap kali beraksi untuk pasukannya. Ia dapat dilihat apabila pasukan dan rakan sepasukannya tidak berada pada prestasi diharapkan.

Oleh kerana alasan itu, adalah wajar Bruno mahukan jaminan dari pengurus dan pihak atasan kelab mengenai polisi perpindahan membawa lebih ramai pemain berkualiti ke Manchester United sebelum beliau bertindak menandatangani sebarang perjanjian kontrak baharu.

Ironinya juga, dua puluh empat jam selepas Bruno Fernandes mengeluarkan kenyataan menolak perbincangan kontrak, lembaga pengarah The Red Devil’s mengumumkan dua jawatan iaitu Pengarah Bolasepak dan Pengarah Teknikal kelab Manchester United telahpun diisi. Kedua-dua jawatan tersebut akan merangka dan membuat keputusan akhir mengenai transaksi perpindahan akan datang.

Apa yang akan berlaku seterusnya? Sama-sama kita nantikan.

Mungkin frasa ‘tiada pemain lebih besar dari pasukan’ ada masanya boleh digunapakai. Tetapi untuk kes seperti Bruno Fernandes ini, pasukan Manchester United tidak mudah mencari ganti didalam situasi genting dan terdekat. Setuju?

- Advertisement -