Pogba Bahru

0 4

Semenjak berita ejennya mengeluarkan kenyataan panas mengenai status beliau didalam pasukan, Paul Pogba kelihatan mengambil sikap berdiam diri dan lebih mementingkan aksi di atas padang.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, pemain termahal Manchester United ini kembali menemui sentuhan dan menjadi nadi penting kebangkitan skuad Ole Gunnar Solksjaer didalam beberapa perlawanan. Selain itu gerak kerja beliau juga semakin meningkat sesuai dengan pelbagai peranan serta multi-posisi yang diarahkan kepadanya.

Pengurus pasukan memberitahu mengenai Pogba;

“Tugas utama beliau adalah untuk kekal cergas dan bermain bolasepak buat pasukan. Sementara tugasan saya ialah sentiasa bersifat terbuka, jujur kepada pemain dan menasihati mereka jika terdapat masalah timbul. Dengan Pogba, saya tidak pernah mempunyai masalah mengenainya”.

“Saya selalu berterus terang dengan Pogba. Saya tidak perlu bercerita kepada orang luar tentang apa yang kami katakan, tetapi saya sememangnya mempunyai hubungan yang bagus dengannya”.

“Beliau datang dari keluarga yang sangat baik, beliau seorang yang sangat memahami keadaan.  Pogba juga adalah seorang lelaki yang mendengar kata dan beliau tahu apa yang saya katakan bilamana kami berinteraksi satu sama lain”.

Imbas kembali. Sejak kehadiran kembali Paul Pogba ke United dari Juventus, beliau seringkali menjadi sasaran media dan pengkritik. Sehinggalah ke hari ini, setiap inci pengerakan atau kesilapannya akan mengundang persepsi negatif.

Solksjaer membuat ulasan membela pemainnya;

“Pogba seorang yang cekal dan pejuang. Beliau tidak membiarkan perkara yang ingin memburukkan reputasinya sentiasa mengugat semangat beliau. Dirinya sangat jujur, dan apa yang orang ramai tidak tahu,  jika Pogba tidak beraksi namun beliau sentiasa ada memberikan vokalnya di bilik persalinan. Beliau akan menguatkan keyakinan rakan sepasukan sekiranya tidak dapat beraksi”.

Mengenai perubahan posisi Paul Pogba didalam beberapa perlawanan, ini komen Ole Gunnar Solksjaer;

“Saya tahu Pogba beraksi sangat baik dibahagian tengah hari ini [menentang Liverpool di Old Trafford]. Beliau memenangi penguasaan bola, memenangi bentesan dan berjaya melakukan tandukan hebat. Begitu juga di Anfield tempohari, beliau melakukan kerja yang bagus”.

“Kami tahu Robertson akan maju ke dalam kawasan kami, untuk ruang yang sempit, tenaga seperti Robertson boleh melukakan pasukan. Kami mengarahkan Fred dan Bruno untuk mengawasi pergerakan mereka. Sementara Pogba akan bertindak di bahagian kanan sebagai tekanan fizikal dalam usaha meneutralkan Robertson, dan beliau berjaya didalam tugasan tersebut”.

Kepelbagaian posisi Pogba sangat menguntungkan Manchester United. Dengan jadual yang sangat padat, versatiliti dari seorang pemain adalah bonus. Kredit kepada barisan kakitangan kejurulatihan terutamanya Micheal Carrick dan Darren Fletcher yang terus menerus memperbaiki kebolehan sektor tengah pasukan.