Kebangkitan Dari Kejatuhan

0 17

Beliau pernah diramalkan akan kehilangan tempat dalam pasukan selepas penurunan prestasi dan masalah kecederaan serta kecergasan. Namun semua itu sekadar menjadikan satu lagi pemangkin semangat buat dirinya kembali bersama skuad Manchester United.

Baru berusia 25 tahun, Luke Shaw sudah merasai pahit maung sebagai pemain bolasepak. Di Old Trafford, beliau sudah berkhidmat dibawah tiga pengurus berlainan dalam jangkamasa enam tahun.

Musim kebelakangan ini, Shaw muncul antara pemain tonggak pasukan meskipun berdepan cabaran dari rakan seyposisi, Alex Telles yang baru menyertai kelab sejak berpindah dari Fc Porto.

Statistik terkini menunjukkan peningkatan¬† mendadak prestasi semasa Shaw. Lagaknya persis sebelum beliau menerima kecederaan ‘tibia en fibula’ sewaktu menentang Psv Eindhoven pada pertandingan Piala Uefa di tahun 2015. Begitu juga dengan masalah kegagalannya mengawal pengambilan nutrisi makanan yang menyebabkan kenaikan tubuh badan beliau.

Benarlah kata pepatah, dimana ada kemahuan, disitu ada jalannya. Luke Shaw nyata tidak berputus asa dalam mendepani segala cabaran tersebut.

Buktinya kini menurut laman YouTube Manchester United, sewaktu menentang Liverpool di Anfield, beliau sukses melakukan 80 peratus hantaran. Sebanyak 17 larian kedalam kawasan lawan dilakukannya, dua hantaran kunci di kotak penalti dan didalam masa yang sama mengunci penyerang berbisa Liverpool, Mo Salah.

Berikutan prestasi itu, Shaw dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Ole Gunnar Solksjaer dan rakannya, Alex Telles turut menghamburkan pujian diatas tugas cemerlang beliau untuk perlawanan tersebut.

Shaw berkata selepas perlawanan itu berakhir;

“Saya kini berasa sangat cergas dan berkeyakinan tinggi. Sudah jelas, kredit paling besar kepada pengurus kerana mempercayai kemampuan saya dan sentiasa memberikan tekanan kepada saya. Begitu juga dengan Alex, beliau seorang rakan yang sangat memahami”.

“Kami mempunyai hubungan yang baik. Beliau sentiasa melakukan yang terbaik didalam latihan, ia adalah bagus untuk mempunyai persaingan disetiap posisi, kami mengeluarkan segalanya ketika latihan untuk mendapatkan tempat didalam skuad utama”.

Sementara Alex turut membalas komen tentang rakannya;

“Luke sememangnya pemain yang mempunyai kemahiran dan kualiti. Beliau mempunyai aspek teknikal dan berkebolehan tinggi. Anda lihat ketika berdepan Liverpool, beliau mengambil bola dari kawasan sendiri dan memajukannya ke depan. Perkara seperti ini saya dan beliau sering menekan satu sama lain ketika latihan. Kami tahu beliau mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan ini”.

Seperti tradisinya, United lebih dominan di sisi kiri. Disebabkan itu Luke Shaw didalam susunan taktikal pengurus kini sering membuat pertukaran hantaran dengan pemain sayap kiri pasukan. Sama ada Marcus Rashford atau Anthony Martial, keserasian mereka hampir menjadi sempurna. Dengan menggunakan fizikalnya ketika bertahan dan kelajuan sewaktu didalam transisi menyerang, Shaw akan lebih kerap mencipta hantaran lintang serta mencipta peluang ke kotak penalti lawan. Namun begitu, tugas hakiki sebagai pertahanan kiri tetap tidak diabaikan dengan kerajinan beliau membuat turun naik setiap kali kehilangan bola.

Berkait tentang mode menyerang Luke Shaw, menurut laman web rasmi Manchester United, beliau telah melakarkan 82 peratus hantaran berjaya. 28 sentuhan bola di kotak penalti lawan serta 31 peluang gol telah tercipta dari gerakannya. Selain itu beliau juga merekodkan diri sebagai salah seorang yang mencipta peluang jangkaan bantuan gol dengan nisbah 2.3 [hanya di belakang Bruno Fernandes yang melakukan 6.4], keempat dari kalangan skuad utama dari segi sentuhan bola sebanyak 1023, kelima dari hantaran sempurna berjumlah 716 dan kelima untuk rekod gelecekan berjaya dengan nisbah 19 kali. Berdasarkan rekod dari FBRef.com ini, kemungkinan peningkatan prestasi Luke Shaw akan dapat dilihat setelah kesemua pencapaian tersebut tercipta hanya untuk separuh musim liga berlangsung.

Shaw yang mempunyai bakat dan kemahiran melakukan larian kedepan serta melencongkan bola kedalam penjuru gol lawan dianggap sebagai – aspek tambahan pemain bek sisi moden. Beliau juga kini mengambil peranan sebagai pakar bola mati, antaranya sepakan sudut dari kiri ataupun sepakan percuma tidak langsung. Shaw telah mencatatkan 31 sepakan sudut dan 63 hantaran lintang seperti yang direkodkan oleh penganjur Liga Perdana Inggeris.

Kembali kepada sifat bertahan Shaw, beliau juga tuntas untuk aspek ini. Sebanyak 35 bentesan dilakukan untuk beliau berada pada keempat terbaik dari keseluruhan pasukan, kelima dari segi hadangan berjaya [29] dan kelima juga dari segi pertarungan duel fizikal dengan nisbah 19 memenanginya.

Walaupun pernah ditimpa musibah, Shaw antara pemain yang patut dicontohi. Beliau pernah tidak merasai aksi bolasepak selama 288 hari atau 51 perlawanan selepas diterjah pertahanan Psv Eindhoven. Masalah berulang kecergasan dan kecederaan sebenarnya membuatkan Shaw secara keseluruhannya hilang dari radar bolasepak selama 711 hari bersamaan 120 perlawanan sejak musim 2014/2015. Rujukan dari TransferMarkt.com menunjukkan kebanyakkan asbab Shaw kehilangan aksinya adalah gara-gara kecederaan lamanya.

Pun begitu Shaw tidak kenal erti mengalah. Beliau tekun dan bertekad kembali ke pangkuan pasukan. Ole Gunnar Solksjaer berkata mengenai semangat anak buahnya itu;

“Bila anda mempunyai semangat, keyakinan dan kemahiran seperti Shaw, dalam masa yang sama mengasingkan antara isu kecergasan dan mental, anda bersedia melakukan aksi yang terbaik. Shaw adalah antara pejuang tulen”.

Seperti kita maklum, Ole antara pengurus yang menggunakan pendekatan diplomasi dengan pemain dibawah bimbingannya. Didalam kes Shaw, pengurus itu turut melakukan rutin yang sama.

“Ia tentang bagaimana kita melihat dan menilai peribadi individu dengan budi bicara serta harga sebuah dasar kemanusiaan. Saya banyak meluangkan masa untuk berbicara dengan pemain, dan Shaw antaranya. Beliau seorang lelaki yang sangat senang bila kita berhubung. Saya cuba membantu beliau dan saya sangat gembira Shaw kembali cemerlang, kerana sememangnya beliau mampu melakukan lebih dari itu”.

Berbeza dengan rejim pengurus terdahulunya, Shaw pernah ditegur didalam sidang media akibat ketelanjuran beliau gagal mendapatkan apa yang dipinta Jose Mourinho. Selain isu kecergasan dan kecederaan, beliau juga mempunyai hubungan dingin bersama mantan pengurus itu dalam pelbagai isu. Namun Shaw akur yang beliau sewajarnya wajib menuruti segala arahan dari seseorang pengurus dan kini bertekad tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Panggilan antarabangsa untuk mewakili England juga antara idaman Luke Shaw. Beliau yang sebelum ini pernah bersama skuad Tiga Singa itu, kini berkira-kira ingin menembusi kesebelasan utama selepas penarikan diri akibat kecederaan pada kejohanan Piala Negara Uefa. Pengurus pasukan England, Gareth Southgate berkata;

“Peluang untuk beliau sentiasa terbuka [Euro 2020 ditangguhkan gara-gara Covid-19]. Beliau adalah pemain bek kiri terbaik negara kami”.

Mampukah Shaw membantu Manchester United menjulang kemarau teofi? Adakah Shaw akan bebas dari isu kecederaan atau kecergasan sepanjang musim ini? Layakkak Shaw kembali ke skuad England?

Sekiranya semua berjalan lancar, tidak mustahil Luke Shaw ‘antara’ pertahanan kiri terbaik dunia. Bukan senang sudah jatuh dan bangun semula.