Analisis: United serba tak kena

0

Pada aksi pertama menentang AC Milan dalam saingan 16 pasukan terbaik Liga Europa, Manchester United dilihat begitu bergelut berdepan skuad Rossoneri itu.

Babak pertama perlawanan juga dapat disaksikan betapa pasukan dari Itali tersebut lebih bernafsu menghadirkan ancaman melalui beberapa siri percubaan ke arah gawang tuan rumah.

Biarpun anak buah Ole Gunnar Solksjaer mendominasi  dari segi penguasaan bola pada awalnya, pihak lawan pula bersedia memanfaatkan setiap kesilapan yang terhidang. Buktinya, dua gol awal Milan dinafikan perangkap ‘ofsaid’ dan keputusan Video Assistant Referee. United tampak tidak berupaya menembusi blok pertahanan dan sektor tengah lawan yang beraksi sangat ampuh meski tanpa kehadiran beberapa pemain utama mereka.

Bersambung babak kedua perlawanan, Anthony Martial digantikan dengan pemain muda Amad Diallo. Tidak menunggu lama, bekas pemain Atlanta itu membuka akaun jaringan bersama Manchester United pada minit ke-50. Gol itu meletakkan tuan rumah didepan dengan margin satu gol.

Namun selepas itu tidak banyak gerakan berbahaya dilakukan oleh rata-rata pemain United untuk  benar-benar menggegar gawang dikawal Gianluigi Donnaruma. Sebaliknya skuad bimbingan Stefano Pioli semakin rakus mencari gol penyamaan setelah melakukan pertukaran pemain.

Pada penghujung perlawanan yakni diwaktu kecederaan, Simon Kjaer memanfaatkan sepakan penjuru dari sisi kanan United untuk menjaringkan gol penting di tempat lawan.

Sekali lagi kehilangan fokus di minit akhir permainan menghantui The Red Devil’s. Selain tidak beraksi dengan prestasi sepatutnya, United turut dilihat kurang klinikal di depan gawang lawan. Beberapa peluang yang terbuka gagal dijelmakan sebagai jaringan.

Perlawanan timbal balik minggu hadapan akan diadakan di Giuseppe Meazza, Milano. Ia mungkin lebih sukar buat Ole Gunnar Solksjaer jika nama-nama seperti Zlatan Ibrahimovic, Mario Mandzukic, Hakan Calhanoglu, Ante Rebic dan Alessio Romagnoli turut beraksi kelak.

Masihkah ada harapan buat United melangkah ke pusingan suku akhir Liga Europa musim ini?

 

 

 

 

 

- Advertisement -