Buletin Manchester United

bruno rashford pogba

5 Era Taktikal Berbeza dari Ole Gunnar Solskjaer: Siri 6 – Era Sayap Kanan dan Tekanan Di Blok Tengah

Ole Gunnar Solskjaer telah mengendalikan Manchester United selama dua tahun dan beliau sudah melalui lima era taktikal yang berbeza. Kupasan ini adalah siri ke-enam dan era kelima taktikal Solskjaer di Manchester United. Tulisan ini dibuat berdasarkan analisis yang dilakukan oleh Pauly Kwestel.

  • Tempoh: Permulaan musim 2020-21 – Sekarang
  • Formasi Asas: 4-2-3-1
  • Pemain Paling Bermanfaat: Bruno Fernandes
  • Pemain Menonjol Kedua: Marcus Rashford
  • Pemain Utama: Juan Mata / Paul Pogba

Setelah beberapa kali bertukar formasi dan taktikal setelah setahun dan setengah sebagai pengurus Manchester United, ramai yang akan beranggapan bahawa pada awal musim 2020-21, Ole Gunnar Solskjaer akan mempunyai taktikal yang jelas. Dalam tempoh-tempoh tertentu, beliau benar-benar mempunyai taktikal yang jelas tetapi pasukan ini masih lagi merupakan satu gabungan yang agak ‘cacamarba’. Terdapat satu masalah kecil iaitu pasukan ini memerlukan pemain sayap kanan untuk bermain formasi 4-2-3-1 dan United tidak memilikinya. Kelab ini cuba mendapatkan Jadon Sancho pada musim panas tetapi tidak berjaya. Pada penghujung jendela perpindahan mereka  berjaya mendapatkan pemain tengah Donny van de Beek, bek kiri Alex Telles, dan penyerang Edinson Cavani. Kesemua pemain ini berguna untuk ‘squad depth’ tetapi tidak seorang pun boleh bermain sayap kanan. Dengan itu, Solskjaer perlu melalui musim ini dengan cuba untuk membina pasukan itu sebagai satu ‘puzzle’ yang lengkap. Beliau tidak perlu mendapatkan yang terbaik dari setiap seorang pemain, tetapi sudah cukup untuk menghasilkan sebuah pasukan yang tidak bergantung hanya pada seorang pemain. Tetapi, itu bukanlah satu-satunya cabaran ketika memasuki musim yang cukup sukar ini.

Ini adalah musim yang tidak seperti musim yang lain. Segala-galanya seperti tidak kena dan semuanya berlaku pada awal musim ini. Ekoran daripada penglibatan Manchester United dalam Liga Eropah, Ole Gunnar Solskjaer tidak mempunyai pramusim dengan skuadnya. Solskjaer tidak mempunyai latihan skuad sepenuhnya sehinggalah empat hari sebelum perlawanan pertama United ketika menentang Crystal Palace. Tiada seorang pemain pun yang layak bermain dalam perlawanan itu. Kalaupun ada pemain yang cuba bersungguh-sungguh dalam perlawanan tersebut, pasukan tersebut masih jauh daripada bersedia untuk perlawanan itu. Tanpa pramusim untuk mengerjakan sesuatu yang baru, Solskjaer hanya perlu buat apa yang beliau tahu iaitu memilih pemain yang sama ketika ‘Project Restart’ pada perlawanan berikutnya menentang Brighton dan Tottenham (Eric Bailly bermain menggantikan Victor Lindelof dalam perlawanan menentang Tottenham). Kedua-dua perlawanan tersebut adalah satu bencana bagi pasukan itu. United sangat bergelut menentang Brighton dan bernasib baik kerana berjaya tamat dengan kemenangan. Mereka kemudian dihancurkan 6-1 oleh Tottenham dalam perlawanan yang sememangnya milik Tottenham. Setiap kekurangan United didedahkan dengan jelas oleh pasukan kendalian Jose Mourinho itu. Tidak melalui pramusim benar-benar memudaratkan United. Ketika pasukan lain sudah berada di hadapan, mereka masih berusaha untuk mendapatkan kecergasan perlawanan (match fitness) mereka. Akibatnya, Solskjaer kembali tertekan tetapi ternyata United hanya memerlukan beberapa perlawanan untuk kembali seperti sebelum ini. Setelah itu, mereka sudah bersedia untuk menukar keadaan.

United telah dibolosi 12 gol dari tiga perlawanan pertama mereka dan memperbaiki bahagian pertahanan menjadi keutamaan. Gandingan Paul Pogba dan Nemanja Matic sangat mengerikan dan United tidak boleh bergantung kepada kedua-dua pemain tengah terbaik mereka pada tahun sebelumnya. Maka, datanglah Scott McTominay dan Fred. Pivot McFred berfungsi dengan baik tetapi tidak mempunyai kreativiti. Pada musim 2019-20 mereka memulakan 11 perlawanan Liga Perdana bersama sebagai pivot berkembar dalam formasi 4-2-3-1 tetapi hanya menang lima daripadanya. Ketidakmampuan mereka untuk menggerakkan bola di atas padang dengan cepat menjadi penyebab utama. Kecenderungan pasangan ini untuk bermain secara lateral (ketika bermain bersama sebelum ‘lockdown’ Fred mempunyai 4.19 hantaran progresif setiap 90, McTominay mempunyai 3.19) membenarkan pertahanan lawan untuk bertenang dan pada masa yang sama memperlahankan gerakan pasukan. Seringkali pertahanan lawan membenarkan Harry Maguire dan Victor Lindelof membawa bola ke atas, tetapi memberikan mereka sendiri banyak masa untuk berkumpul dan menutup ruang di belakang. Ini bermaksud pemain United akan banyak berkumpul di kawasan yang sangat kecil dan sangat mudah untuk dikawal.

Kekurangan kreativiti memberi tekanan lebih tinggi pada empat pemain di barisan hadapan untuk mencipta peluang. United menunjukkan peningkatan besar dengan Bruno Fernandes berbanding Andreas Pereira tetapi masih terdapat masalah di kawasan sayap kanan. Daniel James hanya efektif apabila beliau mempunyai ruang untuk berlari di belakang pemain lawan. Mason Greenwood adalah penjaring gol dan bukanlah pemain yang akan banyak menyumbang dari segi membina permainan (build up) atau kreativiti. Pasukan lawan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyedari hal ini dan mereka mula mengetahui bagaimana untuk menutup ruang Greenwood (dengan membuat pertahanan mereka di hadapan dirinya di dalam kotak penalti) sekaligus membatalkan gerakannya sepenuhnya.

3 pic

Keadaan menjadi lebih buruk apabila Anthony Martial mendapat kad merah ketika tewas 6-1 kepada Tottenham, sekaligus tidak dapat bermain tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris seterusnya. Edinson Cavani pula belum bersedia untuk memulakan permainan. Secara tiba-tiba United tiada pilihan menyerang dan bahagian tengah. Penggantungan Martial, cubaan untuk menyembunyikan kekurangan di bahagian sayap kanan dan penggiliran pemain di Liga Juara-Juara (seperti yang biasa dilakukan oleh mana-mana pengurus) telah menyebabkan United tidak pernah kelihatan pasukan yang benar-benar stabil. Mereka berjuang untuk konsistensi dan menjadikannya agak sukar untuk benar-benar melihat apa yang mereka cuba lakukan secara keseluruhannya. Namun, jika anda tolak ketepi perlawanan Liga Juara-Juara – yang mana ia lebih kepada pertembungan taktikal mengikut siapa lawan United – dan hanya fokus pada liga, gambarannya akan menjadi lebih jelas.

Pada bulan Oktober, tugas utama adalah untuk menstabilkan pertahanan, yang bermaksud beralih ke bahagian tengah McTominay dan Fred. Kedua-dua pemain itu memberikan tenaga kepada pasukan dan menyusahkan pihak lawan, tetapi mereka tidak memberikan pergerakan bola ke atas atau kreativiti. Ini bermakna Solskjaer perlu meletakkan Juan Mata di sayap kanan – bukan sebagai pemain sayap tradisional tetapi sebagai pemain tengah ketiga yang turun ke bawah untuk membantu memajukan bola ke atas.

formation 1

Situasi ini menyebabkan hanya tinggal tiga pemain di hadapan iaitu Fernandes, Marcus Rashford dan Daniel James. Mereka tidak akan dapat mencetak gol melainkan jika mereka dapat membantu Rashford membuat larian di belakang pemain lawan. Sekiranya mereka tidak dapat berbuat demikian, pada dasarnya Fernandes yang harus melakukannya sendiri. Dengan Mata (dan Donny van de Beek ketika menentang Southampton) membantu dengan menghantar bola ke atas, Fernandes menjadi pemburu gol dan bukannya pencipta gol. Dari pertengahan Oktober hingga akhir November, gol tanpa penalti (non penalty goal) Fernandes meningkat sekali ganda berbanding bantuan golnya iaitu empat kepada dua. Bruno ‘membawa’ pasukan United secara bersendirian tetapi situasi ini tidak mungkin dapat kekal lama. Lambat laun beliau akan kepenatan sekiranya berterusan bermain sedemikian. Dan, dalam perlawanan yang mana beliau tidak bermain dengan baik – seperti ketika menentang Chelsea atau Arsenal (atau Istanbul di Liga Juara-Juara) – maka United tidak mempunyai peluang untuk menang.

United di bawah Solskjaer selalu menjadi pasukan yang melakukan serangan balas (counter attack). Tetapi bukanlah pasukan yang akan bertahan di bawah, menyerap tekanan dan melakukan serangan balas secara penuh, tetapi lebih kepada berasaskan peralihan (transition) yang cepat. Bila-bila masa dan di mana sahaja pemain memenangi bola, akan segera menghantar bola ke belakang pemain lawan. Seperti yang diketahui musim lalu bahawa strategi tidak akan berjaya jika pasukan lawan hanya bertahan di bawah dan tidak memberi ruang untuk berlari di belakang pemain mereka.

Musim ini, fokus utama bukanlah untuk mencari jalan untuk memecahkan benteng pertahanan lawan yang ‘berkampung’ di kawasan sendiri. Sebaliknya, fokus kepada mencipta ruang di belakang pemain lawan yang suka bertahan secara berpasukan. Penyelesaian Solskjaer adalah untuk mengurangkan tekanan di bahagian atas, sebaliknya mencipta tekanan di pertengahan blok (midblock press). United akan membenarkan pasukan lawan untuk membawa bola hingga ke bahagian tengah padang berbanding sebelum ini yang mana mereka menekan lawan di bahagian atas padang. Bahagian tengah United pula tidak akan turun jauh ke bawah, pada masa yang sama menjaga jurang yang kecil antara empat pertahanan di belakang dan bahagian hadapan menjadikan United bermain secara kompak.

pic 2

Melalui corak permainan tersebut, United memberikan satu ilusi bahawa jentera serangan mereka akan mengenakan tekanan yang kuat tetapi hakikatnya mereka akan membiarkan pertahanan lawan memiliki bola. Jentera serangan United akan naik ke atas untuk memberikan tekanan tetapi pada masa yang sama membiarkan bahagian tengah dan pertahanan berada sedikit di bahagian bawah. Ini akan menutup ruang kepada pemain lawan daripada cuba menghantar bola jauh ke belakang pemain pertahanan United. Akibatnya, pemain lawan terpaksa membina gerakan dari bawah dan terpaksa melalui jentera tengah United. Itulah yang diinginkan United untuk pasukan lawan lakukan iaitu dengan membenarkan pertahanan dan jentera tengah mereka naik hingga ke tengah padang. Selepas itu, pemain United akan mengenakan tekanan di kawasan tengah blok (midblock pressing) dan cuba memenangi bola. Seterusnya, mereka akan melancarkan gerakan dengan pemain menyerang membuat larian di belakang pertahanan lawan, yang ditinggalkan oleh mereka, apabila jentera tengah United berjaya mencuri bola.

Perlawanan menentang Leeds memberikan beberapa contoh yang tepat akan gerakan United ini. Rashford mengawal sayap kiri tetapi tidak memberikan tekanan. Hanya setelah Leeds membawa bola ke tengah, barulah Fred dan Shaw akan memberikan tekanan, memenangi bola dan membiarkan Bruno membuat gerakan melepasi pertahanan Leeds. Ini membawa kepada gol pertama. Kemudian pada separuh masa pertama anda melihatnya lagi. Sebaik sahaja Leeds mendapat bola ke tengah, Fred mula menekan mereka dan Dan James memainkan peranan aktif untuk kembali memenangi bola dan memulakan gerakan menyerang. Hal ini menyebabkan Fred banyak berlari dalam proses transisi kepada menyerang untuk United yang mendapatkan gol. Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa Leeds bukanlah contoh terbaik untuk menggambarkan sistem United ini kerana sistem Leeds yang selalu menyebabkan mereka meninggalkan ruang untuk pemain United berlari di belakang mereka. Tetapi Leeds bukanlah satu-satunya pasukan yang United lakukan corak permainan sebegini. Tekanan di blok pertengahan yang dipraktikkan oleh United juga berjaya membantu pasukan untuk membuat transisi ini ketika menentang Newcastle, babak kedua ketika menentang West Ham, Aston Villa dan Sheffield United. United telah kehilangan mata ketika menentang kesemua pasukan ini pada tahun sebelumnya.

The Red Devils menguasai 60 peratus permainan ketika menentang Sheffield United baru-baru ini. Pasukan yang tidak memberikan ruang di belakang mereka. Angka-angka sebegini adalah satu kebiasaan ketika menghadapi pasukan yang lebih kecil pada tahun lalu dan hanya pada kali ini melalui tekanan di blok tengah barulah United berjaya mendorong The Blades untuk membawa bola cukup tinggi sehinggakan Marcus Rashford dapat membuat larian di belakang pertahanan mereka. Ketika Rashford memulakan larian tepat pada masanya, beliau berjaya menjaringkan gol. United kemudian berjaya menambahkan gol dalam perlawanan ini melalui serangan balas.

Berita gembira bagi Solskjaer adalah kembalinya Paul Pogba dari kecederaan. Kemampuan teknikal dan daya tarikan pemain Perancis ini sangat besar dalam mewujudkan ruang dan meringankan beban Bruno Fernandes. Ketika Pogba tidak berada di padang, Fernandes telah menjadi pemburu gol tetapi dengan kehadiran Pogba, beliau kembali menjadi ‘playmaker’. Secara peribadi, beliau mungkin lebih baik bermain sebagai pencari gol tetapi bermain dengan cara itu akan menyebabkan beliau menggunakan lebih banyak tenaga.

bruno pogba stat

Sebelum ini Paul Pogba telah digambarkan sebagai tidak mampu bertahan apabila diberi tekanan (press resistant). Ini mungkin disebabkan oleh kesilapan yang beliau lakukan semasa menentang Southampton pada musim lalu. Namun, ia adalah lebih merupakan mitos berbanding satu fakta. Walaupun begitu, ketika Pogba berada di atas padang, pasukan lawan lebih banyak mengejar dan menekannya berbanding pemain tengah United yang lain. Itulah sesuatu yang sangat disambut baik oleh United (dan Pogba), kerana lebih banyak pemain pertahanan yang menekannya, lebih banyak ruang untuk untuk beliau melakukan hantaran  dan lebih banyak ruang untuk Bruno Fernandes untuk melancarkan serangan. Ini adalah sebab utama mengapa kebelakangan ini United lebih banyak membuat larian di belakang pemain lawan ketika Pogba dan Nemanja Matic bermain bersama di tengah berbanding McTominay dan Fred. Tidak mengejutkan bahawa ruang yang dicipta oleh Pogba, ditambah dengan kemampuannya membuat hantaran, telah memberi ‘kebebasan’ kepada Marcus Rashford. Walaupun Pogba hanya mencipta satu bantuan satu gol sahaja untuk Rashford tahun ini, tetapi Rashford dapat bermain dengan baik ketika Pogba berada di atas padang pada tahun ini.

rashford stat

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Pogba ‘wajib’ berada di atas padang. Memandangkan tanggungjawab pertahanannya dan batasan minit permainan Nemanja Matic, Solskjaer akhir-akhir ini bergilir-gilir antara pivot Pogba-Matic dengan Mason Greenwood di sayap kanan, dan pivot McFred dengan Rashford bergerak ke kanan, dan Pogba bermain di kiri dalam bentuk formasi hibrid 4-2-3-1 / 4-2-2-2.

Kemampuan membuat larian di belakang lawan adalah sesuatu yang tidak berlaku ketika United bermain menentang pasukan yang ‘berkampung’ di depan gol pada musim lalu. Tekanan di blok tengah telah membantu  menyelesaikan masalah itu bersama dengan kemampuan Pogba membuat hantaran jauh. Dengan membenarkan pemain di hadapan bergerak ke atas tetapi meninggalkan pemain pertahanan di bawah, United membuatkan lawan mereka untuk benar-benar bermain bola sepak melawan mereka dan tidak mengejutkan apabila United ketika itu mulai memenangi perlawanan mereka. United telah bermain enam perlawanan pada musim ini di mana mereka telah memiliki 55 peratus atau lebih penguasaan. Mereka memenangi lima daripadanya, dengan satu-satunya kekalahan datang dalam permainan pembukaan mereka melawan Crystal Palace (yang termasuk dalam permainan yang tidak patut dikaji). Pada musim ini United bergelut ketika menentang pasukan besar (Chelsea, City, PSG) yang hanya bermain jauh lebih konservatif dan mencabar pasangan McTominay-Fred untuk mengalahkan mereka (pasangan itu kurang mendapat tekanan daripada kombinasi tengah United yang lain), yang mana mereka biasanya sukar untuk melakukannya memandangkan kekurangan kemampuan mereka untuk menggerakkan bola di atas padang.

Ole Gunnar Solskjaer selalu mahukan permainan bola sepak dengan cara menyerang secara pantas di United. Kecederaan dan keadaan telah memaksa beliau untuk membuat pelbagai cara untuk menyelesaikan masalahnya tetapi itu adalah identitinya (bermain bola sepak menyerang dengan pantas). Tekanan di blok tengah adalah taktikal terbaru tetapi sebenarnya United masih belum selesai. Akhirnya beliau pasti akan mendapat pemain sayap kanan yang sebenarnya dan perkara ini akan berkembang lagi. Kecederaan pemain yang salah boleh menyebabkan perubahan lebih jauh pada masa depan yang lebih cepat. Walau apa pun, terdapat cukup bukti untuk menyatakan bahawa Solskjaer akan mencari caradan jalan untuk menghadapi apa jua rintangan di hadapannya.

Kredit: Pauly Kwestel, penganalisis taktikal dan data bola sepak.