Buletin Manchester United

ole fernandes

5 Era Taktikal Berbeza dari Ole Gunnar Solskjaer: Siri 5 – Era Bruno Fernandes Dan Pasca ‘Lockdown’

Ole Gunnar Solskjaer telah mengendalikan Manchester United selama dua tahun dan beliau sudah melalui lima era taktikal yang berbeza. Kupasan ini adalah siri kelima dan era keempat taktikal Solskjaer di Manchester United. Tulisan ini dibuat berdasarkan analisis yang dilakukan oleh Pauly Kwestel.

  • Tempoh: Jun 2020 (menentang Tottenham di tempat lawan) – Ogos 2020 (Sevilla)
  • Formasi Asas: 4-2-3-1
  • Pemain Paling Bermanfaat: Bruno Fernandes
  • Pemain Kedua Menonjol: Anthony Martial
  • Pemain Utama: Nemanja Matic

Terdapat sedikit ketenangan antara tempoh kecederaan pada Marcus Rashford dan permulaan era taktikal Ole Gunnar Solskjaer yang seterusnya. Bulan Januari kelihatan seperti penghujung kempen 2018-19 dengan Solskjaer perlu berhadapan dengan skuad yang dibelenggu kecederaan yang menyebabkan banyak perubahan perlu dilakukan. Isu terbesar adalah dengan kehilangan Rashford, United tidak mempunyai ancaman di sebelah kiri. Ini mengakibatkan Martial terpaksa melakukan kedua-dua tugas sebagai penyerang tengah dan tugas Rashford sebagai sayap kiri ketika United bermain di kedudukan 4-2-3-1. United sangat bergelut dalam formasi itu kerana Martial terlalu banyak bekerja membuatkan beliau tidak efektif sepenuhnya. Untuk mengurangkan bebanan ini, Solskjaer lebih banyak menggunakan pertahanan bertiga yang membawa kepada pelbagai jenis pencapaian.

Berita baik untuk United ada ketika itu apabila Nemanja Matic kembali ke pasukan. Hal ini sangat membantu meningkatkan pertahanan. Sekiranya United tidak dapat menjaringkan gol, satu kewajipan untuk tidak bolos gol. Matic terus memainkan peranan besar pada separuh masa kedua musim United.

matic stats

Ada satu lagi berita gembira iaitu United berjaya mendapatkan bantuan. Bukan sekadar bantuan biasa tetapi dalam bentuk Bruno Fernandes. Pemain tengah yang kreatif yang diperlukan United di dalam dan di luar padang. Secara taktikalnya, Bruno Fernandes dan formasi 4-2-3-1 yang digunakan oleh Solskjaer adalah satu gandingn yang sempurna. Apa yang diperlukan oleh United dari pemain nombor 10 mereka adalah apa yang dimiliki oleh Fernandes. United tidak perlu mengubah apa-apa pun untuk disesuaikan dengan Fernandes yang melakukan tugas yang cemerlang sebaik sahaja menyarung jersi United. Fernandes memulakan perlawanan pertamanya sebagai no 10 dalam sistem 4-2-3-1 tetapi penggantungan Nemanja Matic menyaksikan Andreas Pereira diturunkan di samping Fred di bahagian tengah.

formatio 1

Baru sahaja 30 minit perlawanan sudah jelas bahawa taktikal ini tidak akan menjadi dan Solskjaer terpaksa menukar Bruno dengan Pereira.

formation 2

Empat barisan hadapan James, Martial, Mata, dan Pereira tidak mempunyai kreativiti seperti yang  diharapkan. Manakala Martial masih lagi perlu melakukan 2 tugasan iaitu sebagai sayap kiri dan penyerang dan amat sukar untuk beliau melibatkan diri secara efektif sepanjang perlawanan.

Beberapa permainan seterusnya menyaksikan Solskjaer terus mengubah taktikalnya. Beliau kembali menggunakan pertahanan bertiga ketika menentang Chelsea, formasi 4-2-3-1 melawan Watford, formasi 4-4-2 berlian semasa melawan Everton, yang mana hampir menjadi satu malapetaka, dan kembali kepada pertahanan bertiga apabila menentang Manchester City. United perlu bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang baik. Ini dibantu oleh dengan pertahanan yang bagus dan juga gerakan ‘set piece’.

formation 3

Sememangnya ramai yang tertanya-tanya berapa lama pasukan ini akan dapat meneruskan rentak kemenangan ini. Tanpa Rashford, mereka berjaya berjaya melakukannya walaupun hakikatnya United bergelut untuk  mencapai kemenangan-kemenangan tersebut. Pada waktu ini, Pogba masih lagi dibelenggu kecederaan. Penglibatan United dalam Piala FA dan Liga Eropah sudah pastinya meningkatkan rekod permainan mereka. Dalam tempoh kemasukan Fernandes hingga ke ‘lockdown’, United hanya memenangi tiga daripada enam perlawanan liga mereka. Mereka mungkin di tangga kedua bagi pasukan yang mengutip mata paling banyak dalam tempoh itu, tetapi jangkaan mata (xPTS) meletak United di tangga ketujuh. xPTS mereka dalam setiap permainan merosot dari 1.84 hingga 1.59.

Hikmah di sebalik pandemik COVID 19 bagi United ialah Ole Gunnar Solskjaer tidak perlu risau akan penurunan prestasi permainan United. Pandemik itu menyebabkan perlawanan bola sepak dihentikan selama 3 bulan. Pada ketika ia kembali semula, Solskjaer sudah memiliki skuad penuhnya yang siap sedia untuk bermain mengikut apa yang beliau mahukan.

Perlawanan pertama pasca ‘lockdown’ adalah menentang Tottenham Hotspurs. Ramai yang tertanya-tanya mengapa Solskjaer memilih skuad tersebut untuk menghadapi Spurs. Pada dasarnya, ia adalah pasukan yang sama dari separuh pertama musim – ditambah Fernandes – dengan James di sayap kanan, McTominay dan Fred di bahagian tengah. Selepas 60 minit permainan, pemain-pemain tersebut membuktikan bahawa mereka bukanlah pilihan yang tepat. Menjelang permainan berikutnya, jelas Solskjaer sudah mengetahui kesebelasan utamanya. Bukan hanya mereka lebih baik daripada pemain-pemain lain, tetapi gaya permainan mereka sama sekali berbeza daripada sebelumnya. Ketika tidak memiliki bola, pasukan ini bermain dengan formasi 4-2-3-1 seperti yang selalu mereka lakukan, tetapi ketika memiliki bola semuanya berubah, kerana Nemanja Matic akan turun di antara pertahanan tengah untuk membentuk tiga pertahanan di belakang. Di hadapan, Rashford dan Greenwood akan masuk ke dalam kotak penalti (inside forward), dengan Shaw dan Wan-Bissaka akan naik ke atas untuk membentuk barisan lima pemain di hadapan.

formation 4

Situasi ini membentuk formasi 3-2-5 yang meninggalkan semua ruang di tengah padang untuk Fernandes dan Pogba beroperasi sebagai nombor 8 berkembar. Kadang kala kita juga melihat Rashford berada di kawasan ‘wide’ dan Bruno maju ke hadapan manakala Shaw pula akan masuk ke tengah ke posisi di sebelah Pogba. Taktikal dan formasi ini berjalan dengan efektif. United bermain bola sepak dengan hebat sejak dari awal. Hal ini diserlahkan melalui gol pasukan yang bagus untuk membantu Anthony Martial mencipta hatrik ketika menentang Sheffield United. Perubahan taktikal ini berjaya ‘membebaskan’ United kerana pasukan ini bermain dengan cemerlang ketika ‘Project Restart’. Kedua-dua bek membantu untuk membentuk lima pemain di hadapan meninggalkan bahagian tengah padang terbuka luas untuk Bruno Fernandes untuk mengawal permainan. Ketibaan Bruno memulakan keputusan yang baik untuk United tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan pasukan ini telah mengatasi metric prestasi mereka. Tetapi, gabungan Bruno Fernandes dan Paul Pogba yang kembali menyaksikan United melonjak ke tahap baru.

bruno stat

Mengetuai bahagian serangan sudah pastinya adalah Fernandes. Pemain Portugis itu menjaringkan tiga gol bukan penalti dan menambah empat bantuan gol ketika United menjadi mesin pencetak gol. Pogba dan Bruno yang mengawal di bahagian tengah padang membolehkan Anthony Martial melepaskan tugasan sebagai penyerang 9 jadian yang mana menjadi tugas utama untuk menghubungkan para pemain di atas dan kini hanya fokus untuk masuk ke dalam kotak dan menjaringkan gol. Pemain Perancis itu menjaringkan enam gol dan menambah empat bantuan gol dalam sembilan perlawanan terakhir pada musim tersebut.

Formasi 3-2-5 ketika memiliki bola memberi penekanan lebih kepada pemain bek untuk menyumbang di hadapan walaupun dengan cara yang berbeza. Di sebelah kanan, Wan-Bissaka adalah bek tradisional anda. Bermain di posisi ‘wide’ dan melepaskan hantaran lintang ke dalam kotak, khususnya hantaran lintang rendah. Wan-Bissaka menikmati musim terbaiknya di sini. Sepanjang separuh kedua musim, jangkaan bantuan gol (xGA) setiap 90 meningkat kepada 0.16 berbanding hanya 0.04 pada separuh pertama musim dan ketika ‘Project Restart’, beliau mencatatkan 0.54 xG gerakan gol, mengalahkan purata rekod peribadinya sebelum ini iaitu 0.34. Beliau juga mencipta dua dari empat bantuan gol dalam Liga Perdana musim ini, dan hampir-hampir mencatatkan bantuan gol ketiga tetapi dinafikan oleh keputusan ofsaid.

Di sebelah kiri, Shaw akan bergerak maju membentuk lima di hadapan atau melangkah ke tengah dan membiarkan Bruno naik ke atas, juga untuk membentuk lima di hadapan. Ini menjadikan Shaw lebih terlibat dalam permainan United. Mungkin ramai yang terlepas pandang pada masa itu tetapi Shaw adalah komponen utama dalam sistem ini. Selepas kecederaannya ketika menentang Southampton, United tidak memiliki bek kiri berkaki kiri dan United terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Brandon Williams telah melakukan tugasan yang mengagumkan, tetapi kecenderungannya untuk bertukar kepada kaki kanan ketika menerima bola memperlahankan gerakan United dan membiarkan pertahanan lawan kembali bertahan di bahagian tengah. Dalam sekelip mata serangan United yang bergerak pantas menjadi perlahan dan menjadi semakin sukar. Pasukan ini berusaha keras untuk mendapatkan gol sepanjang tiga perlawanan terakhir mereka.

Secara keseluruhannya, keuntungan terbesar melalui formasi dan taktikal ini adalah ia berjaya menyelesaikan masalah terbesar United. Pada separuh pertama musim ini, Solskjaer dan United dapat mengalahkan pasukan-pasukan besar dengan melakukan banyak gerakan serangan balas (counter attack), tetapi pasukan-pasukan yang lebih kecil seperti Bournemouth dan Sheffield United, iaitu pasukan-pasukan yang mahu United memiliki semua bola, menjadi satu halangan besar bagi United dan Solskjaer. United masih lagi bagus bermain serangan balas (counter attack) tetapi bermain menentang pasukan yang hanya mahu bertahan bukan lagi masalah apabila United mula berjaya mengendalikan lawan tersebut dengan baik.

mu stats

Kunci untuk semua ini adalah Nemanja Matic. Kehadiran semula dalam pasukan pada bulan Januari membantu pertahanan yang memungkinkan pasukan untuk meraih kemenangan bahkan sebelum berjaya menjaringkan gol. Pasca ‘lockdown’ menyaksikan peranannya untuk membahagi pertahanan tengah untuk membentuk tiga di belakang yang benar-benar memberi kebebasan kepada United. Matic memberikan pilihan baru di belakang kerana beliau mampu membuat hantaran dengan kaki kiri dan tiga pemain di belakang itu memberikan perlindungan kepada pemain penyerang mereka maju ke hadapan.

Diketuai oleh Bruno Fernandes, United menjadi salah satu pasukan yang paling menarik dalam liga. Mason Greenwood – kini mendapat minit permainan yang konsisten di sayap kanan – mengumumkan kehadirannya ke liga dengan menjaringkan empat gol dalam empat permulaan pertamanya. Pada hari semuanya menjadi, kesebelasan utama ini dapat mengalahkan sesiapa. Tetapi itu juga menjadi masalah utama Solskjaer. Untuk kedua kalinya dalam tempoh pengurusannya, prestasi terbaik Manchester United diserlahkan oleh fakta bahawa Solskjaer memilih kesebelasan utama yang sama dalam setiap perlawanan. Dan seperti yang dibuktikan oleh kecederaan Luke Shaw, ketika salah satu seorang keluar atau cedera, seluruh pasukan akan rosak.

United hanya mempunyai 11 pemain (12 jika anda mengira Fred). Permulaan sangat baik untuk Mason Greenwood menyebabkan pasukan-pasukan lawan cepat belajar bagaimana untuk menanganinya. Beliau hanya menjaringkan satu gol sahaja lagi sepanjang musim tersebut, membuktikan dengan jelas bahawa beliau bukanlah jawapan di sayap kanan. United sangat memerlukan perlindungan untuk Fernandes dan / atau Pogba kerana rekod menunjukkan bahawa persembahan pasukan adalah jauh lebih baik dengan kedua-dua pemain itu bermain di atas padang berbanding hanya salah seorang sahaja yang ada. United memerlukan pemain yang boleh bergilir-gilir bermain untuk mengelakkan pemain utama tidak kepenatan dan kehabisan tenaga. Mereka memerlukan pengubah permainan (game changer) di bangku simpanan – ini adalah pasukan yang hanya memenangi hanya dua perlawanan pada ketika mereka ketinggalan semasa permainan.

Memandangkan di mana mereka bermula – dan di mana mereka berada selepas baru dua bulan memasuki musim ini – Solskjaer melakukan tugasan yang hebat dan mempunyai musim penuh pertama yang berjaya. Tetapi jika United ingin melangkah ke peringkat seterusnya, masih banyak yang perlu dilakukan.

Seterusnya – Bahagian Lima: Tidak ada pemain sayap kanan dan tekanan di bahagian tengah blok

Kredit: Pauly Kwestel, penganalisis taktikal dan data bola sepak.