Buletin Manchester United

FILE PHOTO: Manchester United manager Ole Gunnar Solskjaer celebrates with Anthony Martial and Marcus Rashford their Europa League match against Partizan Belgrade

5 Era Taktikal Berbeza dari Ole Gunnar Solskjaer: Siri 4 – Era Rashford dan Martial Sebagai No 9.

Ole Gunnar Solskjaer telah mengendalikan Manchester United selama dua tahun dan beliau sudah melalui lima era taktikal yang berbeza. Kupasan ini adalah siri keempat dan era ketiga taktikal Solskjaer di Manchester United.

  • Tempoh: Oktober 2019 – Januari 2020 (menentang Norwich di tempat sendiri)
  • Formasi Asas: 4-2-3-1 (9 jadian)
  • Pemain Paling Bermanfaat: Marcus Rashford
  • Pemain Kedua Menonjol: Dan James

Era taktikal Ole Gunnar Solskjaer yang seterusnya sebenarnya tidak wujud sehinggalah kira-kira dua bulan selepas memasuki musim berikutnya. Ini adalah kerana, ia tidak sepatutnya berlaku. Solskjaer memasuki musim penuh pertamanya sebagai pengurus Manchester United dengan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Bukan sahaja mengenai kesesuaian beliau untuk mengendalikan United, tetapi siapakah dalam pasukannya yang dapat beliau percayai.

Pada musim panas pertamanya, menyaksikan Solskjaer ‘membuang’ pemain-pemain yang tidak memberi manfaat kepada pasukan (deadwood) dan juga penyerang-penyerang senior iaitu Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku. Selepas semua pemain-pemain tersebut ‘dibuang’, mereka digantikan oleh tiga orang pemain. Pemain pertahanan Harry Maguire, bek kanan berusia 21 tahun, Aaron Wan-Bissaka, dan pemain sayap berusia 21 tahun, Daniel James yang menghabiskan musim lalu dalam Liga Kejuaraan. Maguire adalah pemain pertahanan yang sudah ‘matang’, manakala Wan-Bissaka adalah pemain bek kanan yang masih mentah tetapi cemerlang bertahan namun masih perlu tingkatkan bahagian serangan dalam permainannya, dan James pula adalah prospek berusia 21 tahun, yang paling baik hanyalah sebagai pemain skuad musim tersebut.

Rancangan Solskjaer sangat jelas dengan kemasukan pemainpemain baru tersebut iaitu untuk meningkatkan pertahanan yang bolos 54 gol pada musim sebelumnya. Beliau juga meningkatkan jentera serangan dengan menggunakan penyerang muda dalam skuad dan berharap Marcus Rashford, Paul Pogba dan Anthony Martial dapat memberikan jaringan yang cukup untuk mengubah keputusan-keputusan seri 2-2 dan 1- 1 pada musim sebelumnya kepada kemenangan 2-1 dan 1-0 dengan pertahanan baru itu.

Tetapi, di manakah pemain-pemain itu perlu diletakkan?

Dengan pemergian Ander Herrera, bermaksud formasi 4-3-3 yang memberi kebebasan kepada Pogba sebelum ini bukanlah pilihan terbaik. Baik Scott McTominay mahupun Andreas Pereira, mereka tidak dapat melakukan apa yang dilakukan oleh Herrera. Fred mungkin boleh melakukannya, tetapi beliau masih melalui musim pertama yang mengecewakan di EPL dan secara hirarkinya, beliau berada di kedudukan keempat dalam senarai pilihan pemain tengah. Oleh sebab itu, Solskjaer mensasarkan Sean Longstaff dari Newcastle untuk melakukan tugasan itu tetapi United dengan pantas melepaskannya apabila Newcastle meminta bayaran bernilai £50 juta. Sistem yang sedia ada perlu diubah tetapi lebih penting daripada itu adalah persoalan tentang apa yang harus dilakukan di bahagian hadapan.

Rashford sangat cemerlang ketika Solskjaer pertama kali mengambil alih tampuk pengurusan United tetapi beliau hanya menjaringkan satu gol penalti di Paris. Di sampingnya adalah Anthony Martial yang baru sahaja menandatangani kontrak lima tahun sejurus selepas Jose Mourinho dipecat. Tetapi Rashford yang lebih cemerlang di bawah Solskjaer dan bukan Martial. Pemain Perancis itu hanya menjaringkan gol empat kali dalam semua pertandingan sepanjang lima bulan Solskjaer di United. Dengan United yang kini membuat pelaburan jangka panjang terhadap Martial, mereka perlu mendapat pulangan. Dengan itu, Solskjaer perlu mengenalpasti posisi yang sesuai untuk Martial untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya. Melalui data analisis, anda tidak perlu termenung memikirkan rembatan gol Martial sejak empat tahun di Old Trafford untuk mengenali corak permainan beliau.

shot map

Apabila Martial memasuki ke kawasan berbahaya, beliau cukup bijak memasukkan bola ke gawang. Apabila beliau datang dari dari tepi, beliau kurang efektif. Perkara logik yang harus dilakukan adalah mencari jalan untuk mendapatkan beliau melakukan lebih banyak cubaan dari depan gawang. Bagi pemain yang tiba di Old Trafford sebagai penyerang, jawapannya adalah mudah. Jersi bernombor 9 dikembalikan kepada Martial yang bermakna beliau akan bermain di hadapan. Rashford pula akan beroperasi bukan seperti pemain sayap kiri, tetapi sebagai penyerang kedua yang datang dari kiri, dan berlari di ruang belakang. Paul Pogba akan ditempatkan lebih jauh di tengah padang di mana kemampuannya untuk mencari larian-larian dari kedua-dua pemain tersebut digunakan. Pelan ini berjalan sebanyak empat permainan sebelum Pogba dan Martial mengalami kecederaan. Solskjaer kemudiannya perlu membuat penilaian semula.

United kini hanya mempunyai satu penyerang senior – Rashford – yang telah menunjukkan bahawa beliau sebenarnya bukan penyerang di hadapan. Beliau bergelut untuk bermain dengan membelakangkan gawang lawan yang merupakan kemahiran penting yang perlu dimiliki penyerang jika beliau ingin bermain sepertimana yang Solskjaer mahukan. Di belakang Rashford adalah lima pemain tengah iaitu Juan Mata, Dan James, Andreas Pereira, Scott McTominay dan Nemanja Matic. Tidak mengejutkan apabila United hanya menjaringkan dua gol liga sepanjang Rashford bermain di posisi tersebut dan salah satunya adalah penalti.

United berjaya bertahan dalam jangka masa enam minggu tetapi tanpa hantaran-hantaran daripada Pogba, mereka tidak mempunyai kreativiti di bahagian tengah dan Solskjaer perlu mencari jalan untuk menyelesaikannya. Penyelesaiannya adalah dengan bermain sepenuhnya secara serangan balas. Sekiranya pemain tengah anda tidak dapat mencipta peluang, hantarlah bola ke ruang kosong secepat mungkin.

Sebaik sahaja Martial kembali pada bulan Oktober, Solskjaer dengan cepat membuat kesebelasan pilihan pertamanya. Frasa “cepat membuat kesebelasan pilihan pertamanya”, bermaksud sembilan daripada 11 pemain secara automatik terpilih sendiri kerana tidak ada orang lain yang betul-betul tersedia. Selain itu, satu-satunya soalan yang ramai tertanya-tanya ialah “siapakah yang akan bermula di bek kiri” dan “Andreas Pereira atau Jesse Lingard?

formation 1

Solskjer membariskan pasukan dalam formasi 4-2-3-1 dengan Martial diminta bermain lebih banyak sebagai 9 jadian, turun ke tengah untuk menerima bola dengan membelakangkan gawang lawan, sementara Marcus Rashford dan Dan James berlari melepasinya. Ini membolehkan James berlari ke ruang kosong dan menggunakan lariannya untuk mencari Martial atau Rashford berdekatan gawang lawan. Selain itu, Martial boleh juga mencari Rashford yang membuat larian di belakang.

Ini adalah sistem yang dibangunkan untuk memaksimumkan kepantasan dan tidak menghairankan Rashford cemerlang dalam sistem ini. Dari bulan Oktober (ketika Martial kembali) hingga Januari, Rashford menjaringkan 11 gol dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris (8 daripadanya adalah dari permainan terbuka). Kepantasan, ketepatan dan keupayaan menggelecek bola membantunya memenangi dua penalti sendiri – dalam perlawanan penting menentang Tottenham dan Manchester City. Ditambah pula dengan gol dalam Liga Eropah dan empat gol di Piala Liga – terutamanya sepakan percuma sensasi ketika menentang Chelsea – United mempunyai pemain ‘superstar’ baru di tangan mereka.

Di sisi lain pula ialah Dan James. James menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan pertamanya tetapi dengan Pogba yang cedera, beliau diminta untuk tidak menjadi pencetak gol tetapi lebih banyak sebagai pencipta gol. James memberikan enam bantuan gol dalam 11 perlawanan antara Oktober dan Januari sebelum beliau ‘terhenti’. Secara keseluruhan sepanjang separuh masa pertama musim Solskjaer, beliau berjaya memperoleh tiga gol dan enam bantuan sebagai pemain baru. Kesemua data ini tidak begitu penting apabila anda memikirkan apakah pandangan peminat terhadap James sebagai pemain sekarang. Ataupun bahawa dialah “pengganti” Alexis Sanchez dan telah memberikan United hanya tiga gol dan enam bantuan gol di Liga Perdana Inggeris ketika bersama United. Berdasarkan semua kekurangan James, Solskjaer meletakkannya ke dalam sistem yang memaksimumkan bakatnya. Sangat mudah untuk bersikap sinis dan menganggap James hanya meraih enam bantuan gol dengan hanya menggunakan kepantasannya semasa melakukan serangan balas (counter attack) dan menghantar bola kepada Rashford ataupun Martial. Sebenarnya, James hanya melakukan bantuan gol dua kali sahaja melalui gerakan seperti itu. 4 bantuan gol lagi adalah melalui gerakan sebagai seorang pemain sayap.

United mampu untuk bermain dengan cara yang mengujakan dalam sistem ini tetapi terdapat satu kelemahan. Apakah yang akan berlaku jika lawan anda bermain bertahan, membiarkan anda memiliki bola dan tidak memberi anda ruang untuk berlari di belakang mereka? United tidak mempunyai jawapan untuk itu dan juga tidak mempunyai pemain yang mampu memberi jawapan kepada persoalan itu. Untuk memecahkan pasukan dari formasi 4-2-3-1, anda memerlukan pemain tengah yang dapat menghantar bola dengan cepat dan mampu mencipta peluang. Marcus Rashford muncul sebagai bintang, tetapi beliau bukanlah seorang pemain yang dapat mencipta gerakan sendiri. Scott McTominay dan Fred tidak mempunyai profil sebagai pemain yang memiliki hantaran ke atas yang baik. Sekiranya anda tidak membuat hantaran yang tajam dan tepat di antara barisan pertahanan, ia membenarkan pertahanan lawan untuk bergerak bersama anda dan menjaga formasi mereka. United perlu menghantar bola dengan cepat melalui garisan pertahanan dan memberikan bola kepada ‘playmaker’ dan memberi mereka pilihan untuk mencipta gerakan gol. Dengan Jesse Lingard dan Andreas Pereira menjadi pemain tengah yang ‘kreatif’ dalam peranan nombor 10, United tidak dapat menjadikan pemain penting dalam sistemnya menjadi pemain yang berbahaya.

Rashford menjadi personifikasi kepada pasukan Ole Gunnar Solskjaer. Beliau dapat bermain dengan baik ketika melawan Chelsea, Leicester, Liverpool, Tottenham atau Manchester City. Tetapi kemudian dia akan hilang seperti dalam perlawanan menentang West Ham, Newcastle, Bournemouth, Everton, dan Watford ketika tidak ada ruang untuk beliau membuat larian. Menjadi satu masalah untuk membina pasukan di sekitar pemain yang tidak begitu konsisten. Sistem ini tidak dapat kekal lama dan Solskjaer harus mengatasinya.

rash n anto

Separuh masa pertama musim ini adalah mengenai fasa penyesuaian untuk Solskjaer dan ia adalah penyesuaian secara berterusan. Dengan skuad yang tipis seperti itu, setiap kecederaan mencipta satu lagi lubang dan menjejaskan dinamik pasukan. Solskjaer mungkin ingin menghabiskan musim tersebut dengan membangunkan gaya permainan yang ingin ditetapkan, tetapi sebaliknya beliau terpaksa terus mengubah rancangannya ketika beliau berusaha untuk menyelesaikan masalah lain. Tetapi inilah juga pasukan yang perlu berkembang.

Ketika Pogba cedera, Solskjaer bertindak balas dengan meningkatkan tahap tekanan (pressing) United (dari 169.25 setiap 90 hingga 180.33 setiap 90) melalui perlawanan menentang Manchester City. Keberkesanan tekanan (pressing) mereka tidak menentu, dengan kadar tekanan kembali hanya 26.52 peratus. Memasuki bulan Disember, Solskjaer sedia maklum bahawa beliau harus menilai semula tahap tekanan agar tidak memenatkan pasukannya. Ekoran perlawanan derbi di Etihad, United mengurangkan tekanan mereka menjadi hanya 157.30 setiap 90 (hingga akhir ‘era’ ini pada bulan Januari). Ini bukan lagi tekanan (pressing) yang habis-habisan, tetapi mereka menjadi lebih selektif di mana dan siapa yang mereka menekan. Hal yang demikian menghasilkan peningkatan kadar kejayaan mendapatkan semula bola  kepada 30.48 peratus.

Ketika kadar menekan secara keseluruhan menurun, mereka lebih fokus pada tekanan di kawasan pihak lawan (attacking third) dalam usaha untuk merebut bola kembali untuk menciptakan peluang gol dengan cepat. Sebelum 21 Disember, 21.9 peratus penekanan mereka masuk di sepertiga terakhir (final third), setelah perlawanan menentang City, ia meningkat menjadi 26.75 peratus. Namun, United masih bergelut untuk mengubah serangan tersebut menjadi gol. Bagi sebahagian besar permainan United, sistem ini berfungsi dengan baik. Walaupun terdapat kekurangan dan tidak konsisten, United memasuki tahun baru di tangga kelima dan hanya empat mata di belakang Chelsea untuk merebut tempat terakhir Liga Juara-Juara. Jangkaan mata (xPTS) menunjukkan bahawa United sepatutnya menduduki tempat ketiga dan ini menunjukkan bahawa persembahan mereka adalah lebih baik daripada yang difikirkan.

Persembahan United hanya sekadar ‘cukup makan’ sahaja untuk memenangi perlawanan mereka. Tetapi ‘cukup makan’ tidak mengambil kira keluarbiasaan sukan ini seperti kesilapan individu atau nasib buruk. Contohnya Ruben Neves yang merembat dari luar kotak diikuti oleh Paul Pogba yang terlepas penalti (Wolves). Ataupun Marcus Rashford terlepas sepakan penalti diikuti oleh David de Gea yang melakukan kesilapan di gawang gol (Crystal Palace). Atau David de Gea ‘dibuli’ di udara yang menyebabkan bola tertampan Victor Lindelof dan masuk ke gawang (Everton). Pemain United juga melakukan beberapa sudahan yang mengecewakan.

Apa yang dilakukan oleh Solskjaer cukup sekadar memastikan United terus bertahan, tetapi mereka memerlukan lebih banyak lagi. Terutamanya pada bulan Januari ketika kecederaan belakang Marcus Rashford akhirnya menjadi parah. Seperti yang dipelajari oleh Solskjaer pada bulan September, tanpa penyerang kedua sistem ini tidak akan berfungsi. Secara tiba-tiba, United tidak hanya memerlukan lebih banyak pemain, tetapi mereka juga memerlukan perubahan taktikal.

Ikuti kupasan seterusnya – Siri Kelima: Bruno Fernandes dan Pasca ‘Lockdown’.

Kredit: Pauly Kwestel, penganalisis taktikal dan data bola sepak.