Buletin Manchester United

5-Era-Taktikal-Berbeza-dari-Ole-Gunnar-Solskjaer3

5 Era Taktikal Berbeza dari Ole Gunnar Solskjaer: Siri 2 – Era Pengurus Sementara

Ole Gunnar Solskjaer telah mengendalikan Manchester United selama dua tahun dan beliau sudah melalui lima era taktikal yang berbeza. Era pertama taktikal Solskjaer adalah ketika sebagai pengurus sementara Manchester United. Kupasan ini ditulis berdasarkan analisis yang dibuat oleh Pauly Kwestel berdasarkan kelima-lima era taktikal di bawah Ole Gunnar Solskjær.

  • Tempoh: Disember 2018 (menentang Cardiff di tempat lawan) – Februari 2019 (menentang PSG di laman sendiri)
  • Formasi: 4-3-3
  • Pemain Paling Bermanfaat: Paul Pogba
  • Pemain Kedua Menonjol: Marcus Rashford

‘Pemerintahan’ Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara Manchester United sangat dikenang kerana sejak beliau kembali ke Carrington, United telah melalui satu kemenangan 3-1 yang menakjubkan di Paris ketika menentang PSG dalam persaingan UCL. Sebenarnya, beliau masih lagi kekal sebagai pengurus sementara untuk dua perlawanan seterusnya namun dalam kedua-dua perlawanan tersebut, United mengalami kekalahan. Dari perspektif taktikal, era pertama taktikal Solskjaer hanyalah sehingga kekalahan 2-0 kepada PSG pada perlawanan pertama pusingan 16 di Liga Juara-Juara di laman sendiri. Bermula dari perlawanan itulah semuanya berubah. Ini adalah kerana – sebagaimana yang akan menjadi isu utama sepanjang era Solskjaer – kecederaan pemain menghantui pasukan.

Ole Gunnar Solskjaer mewarisi pasukan yang berantakan. Selain daripada persekitaran yang ‘toksik’ dan ‘ketidakbahagiaan’ yang dicipta oleh Jose Mourinho, ini adalah pasukan terbaik yang tidak mempunyai identiti. Ini adalah pasukan yang hanya menampilkan dua pemain (David de Gea dan Paul Pogba) yang anda boleh persoalkan, “Adakah mereka bertaraf dunia?” Selebihnya adalah pemain yang baik yang tidak begitu cergas (Romelu Lukaku), pemain yang belum lagi terbukti (Marcus Rashford, Anthony Martial), pemain yang sudah melepasi tempoh kegemilangan mereka (Nemanja Matic, Alexis Sanchez, Juan Mata, Antonio Valencia), dan pemain yang hanya ‘cukup makan’ dan mungkin tidak memenuhi standard Manchester United (Ashley Young, Marouane Fellaini, Jesse Lingard, Phil Jones, Chris Smalling, Marcos Rojo).

Kesemua pemain ini belum mampu ‘bersatu’ sebagai satu unit yang mampu dijadikan ‘puzzle’ yang lengkap. Jose Mourinho menghabiskan separuh pertama musim ini terus bermain-main dengan pasukannya untuk mencari satu formula/kombinasi/taktikal yang berjaya. Beliau mencuba pelbagai formasi 4-3-3, 4-2-3-1, tiga pertahanan, dua penyerang di atas dan pelbagai lagi. Sehinggakan, ramai para pundit menyatakan Mourinho masih belum menjumpai taktikal dan kesebelasan utamanya walaupun sudah masuk 2 musim mengendalikan United. Tidak ada taktikal yang berjaya dan tidak ada taktikal yang mampu menyelesaikan masalah terbesar United. Pasukan ini tidak dapat bermain bertahan. Selepas 17 perlawanan, United telah bolos lebih banyak gol (29) daripada yang mereka bolosi sepanjang musim sebelumnya (28). Walaupun sebenarnya statistik tersebut menunjukkan bahawa ia lebih berkaitan dengan persembahan sensasi David de Gea. Lebih menggerunkan, persembahan beliau bakal mengecewakan selepas itu.

Selepas Solskjaer mengambil alih pengurusan United, beliau telah menetapkan kesebelasan utamanya dan menyediakan mereka dalam sistem penekanan tinggi (high pressing) 4-3-3 yang sedang menjadi ikutan pada ketika itu.

Bagi seseorang yang selalu bercakap tentang mahukan United bermain pantas, ‘direct’, sentiasa ingin mengatasi lawan dan permainan bola sepak menyerang, anda dapat melihat dengan jelas apakah yang sebenarnya yang beliau ingin lakukan melalui pemilihan kesebelasan utama pertamanya. Di bahagian atas, beliau mempunyai kepantasan dan ‘directness’ Anthony Martial dan Marcus Rashford. Jesse Lingard melengkapkan serangan bertiga dan memberikan ‘work rate’ yang tinggi serta melakukan kerja kotor untuk ‘membebaskan’ kedua pemain tersebut. Nemanja Matic pula di dasar bahagian tengah dengan Ander Herrera di sebelahnya memberikan tenaga dan kekuatan di bahagian tengah. Ini menjadikan Paul Pogba bebas bermain di bahagian kiri tengah, iaitu peranan yang sama ketika beliau bermain di Juventus. Ini adalah pasukan United yang paling mirip di bahagian tengah dengan Juventus. Namun, Matic bukanlah Andrea Pirlo dan Herrera pula bukanlah Vidal, tetapi anda dapat melihat kualiti yang mereka tawarkan.

Solskjaer mengarahkan pemain United untuk menekan tanpa henti (continuous pressing). Menurut data statistik dari UtdArena, intensiti tekanan United meningkat dari yang terburuk di Eropah semasa di bawah Mourinho kepada yang terbaik di Eropah.

Waktu (saat) bagi setiap tekanan (press):

  • 17/18: 10.94
  • 18/19: 10.66 (José)
  • 18/19: 8.09 (Ole)
  • 19/20: 9.41

Asas logiknya adalah mudah. Sekiranya pasukan bergelut untuk bertahan di depan gawang sendiri, maka bertahanlah lebih tinggi di atas padang dan cuba elakkan bola atau pihak lawan dari mendekati gawang anda. Inilah masalah yang dihadapi oleh United sejak dari era Mourinho yang cuba diatasi oleh Solskjaer. ‘Blueprint’ permainan United ketika ini sangat jelas iaitu memenangi bola di bahagian atas dan gunakan hantaran Pogba kepada Rashford yang membuat larian di belakang pemain pertahanan lawan. Tetapi ‘blueprint’ ini bukanlah mengenai Rashford tetapi adalah berkenaan Paul Pogba. Dengan Pogba bermain di posisi kegemarannya bersama Matic dan Hererra di belakangnya untuk memberi perlindungan di bahagian pertahanan, Pogba bebas bergerak, naik ke atas dan benar-benar memberi impak kepada permainan.

Dengan kebebasan ini, Pogba dapat bermain dengan lebih efektif. Beliau menjaringkan lima gol dari permainan terbuka (0.57 NPG / 90) dan menambah empat bantuan gol (0.45 A / 90) dalam sembilan perlawanan pertama Solskjaer. Cubaan setiap permainannya meningkat dari 2.93 di bawah Mourinho menjadi 4.08 dan dia memberikan 5.22 ‘shot-creating action’ (tindakan yang menghasilkan cubaan gol) bagi setiap 90 minit.

Di belakangnya adalah Rashford yang membuat 2.01 cubaan setiap 90 di bawah Mourinho kepada 4.81 dalam tempoh sembilan perlawanan itu. Beliau menjaringkan gol enam kali (0.80 G / 90) pada ketika xG setiap cubaannya meningkat dari 0.11 hingga 0.13. Dengan membuat lebih banyak cubaan bagi setiap perlawanan dan lebih banyak cubaan yang berkualiti untuk setiap perlawanan, membawa kepada lebih banyak gol.

Sudah tentu ada yang menyatakan bahawa United bermain dengan baik hanya kerana sindrom pengurus baru (new manager bounce) atau bahawa ini hanyalah kerana Solskjaer memberi kebebasan kepada Pogba dan pemain lain, tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu. Dalam 10 perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di bawah Solskjaer, statistik asas United juga meningkat. Jangkaan gol (xG) bukan dari penalti meningkat dari 1.41 di bawah Mourinho ke 1.85, sementara xG bolos (xGA) bukan penalti mereka turun dari 1.43 hingga 1.07. Tidak menghairankan jangkaan mata (xPTS) setiap perlawanan meningkat dari 1.41 hingga 1.99.

Pada masa inilah Solskjaer memberikan gambaran pertama mengenai keupayaan taktikalnya. Walaupun 4-3-3 menjadi formasi utamanya, Solskjaer tidak takut untuk mengubah formasi apabila diperlukan. Ketika kali pertama datang ke Wembley untuk menentang Tottenham, United menggunakan kesebelasan utama yang sama, tetapi Solskjaer beralih dari 4-3-3 kepada 4-4-2 berlian dengan mengerahkan Jesse Lingard di hujung berlian.

Beliau kemudiannya meletakkan 2 penyerang, Rashford dan Martial di posisi ‘wide’ pada babak pertama untuk menyerang ruang yang ditinggalkan oleh bek Tottenham ketika mereka naik ke atas. Taktikal ini berjaya mencipta gol United pada separuh masa pertama. Ketika Spurs mula menyesuaikan diri di babak kedua, Solskjaer menukar pasukan menjadi 4-2-3-1 dengan Pogba bermain sebagai nombor 10. United mencatat kemenangan 1-0, juga berkat persembahan hebat dari David de Gea.

Selepas itu, Solskjaer sekali lagi menggunakan formasi berlian tiga minggu kemudian ketika United menentang Arsenal pada pusingan keempat Piala FA. Sekali lagi Lingard berada di hujung berlian kali ini dengan Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku di posisi sayap. Walaupun menerima banyak serangan, perlawanan ini tidaklah mirip dengan perlawanan menentang Spurs dengan United melakukan persembahan serangan balas klasik (counter attack) untuk menang 3-1.

Segalanya berjalan lancar untuk Solskjaer tetapi beliau mengetahui harga yang perlu dibayar untuk semua itu. Corak permainan Solskjaer menuntut lebih banyak pergerakan dan larian, sesuatu yang para pemain belum bersedia. Di bawah Mourinho, tuntutan kecergasan adalah kurang. Atas sebab itulah, tahap kecergasan menjadi keutamaan semasa pramusim. Solskjaer percaya para pemain United tidak cukup cergas (biografi tulisan Jamie Jackson mengenai Solskjaer  dalam buku “The Red Apprentice”). Solskjaer sendiri mengakui secara peribadi dan secara terbuka bahawa tuntutan latihannya yang tinggi akan membuat para pemainnya keletihan dan cepat kehabisan tenaga. Apabila itu akhirnya berlaku, semuanya akan mulai runtuh dan Solskjaer harus membina semula semuanya dari awal.

Akan datang: Bahagian II – Era Solskjaer Menjadi Pengurus Tetap.

Ikuti sambungan kupasan ini dalam tulisan seterusnya.

Kredit: Pauly Kwestel, penganalisis taktikal dan data bola sepak.